Amerika Syarikat (AS) yang ironinya mendakwa komited kepada keamanan sejagat, sekali lagi muncul sebagai negara paling ba­nyak berbelanja untuk tenteranya iaitu AS$610 bilion (RM2.5 trilion) pada 2017, bersesuaian dengan gelaran AS sebagai negara ‘polis dunia’. Sebagai perbandingan, bajet negara Malaysia bagi tahun 2018 pula adalah kira-kira RM280.2 bilion.

Sesetengah penganalisis beranggapan per­belanjaan besar itu adalah salah satu kaedah tidak langsung bagi mengelakkan perang skala besar-besaran seperti Perang Dunia daripada berulang, berdasarkan teori bahawa A hanya akan menyerang B jika mendapati B lebih lemah.

AS juga tidak boleh kalah dari segi perbelanjaan ketenteraan demi mengekalkan status quo sebagai kuasa ketenteraan utama dunia berikutan banyak sekutu-sekutunya bergantung kepada Washington bagi me­ngelakkan daripada diserang.

Seteru Washington yang juga kuasa dominan Asia, China pula berbelanja AS$228 bilion (RM950 bilion) untuk ketenteraan.

Rantau Asia pula menyaksikan bajet ketenteraan di kebanyakan negara mencatat kenaikan selama lebih 20 tahun berturut-turut.

Perbelanjaan ketenteraan oleh negara-negara di dunia itu adalah berkadar songsang dengan keamanan. Sekiranya kerajaan-kerajaan mempercayai bahawa situasi global kini semakin aman, nescaya peruntukan ketenteraan akan mencatatkan penurunan, namun perkara sebaliknya berlaku.

Penambahan perbelanjaan ketenteraan itu berlaku ketika dunia digusarkan oleh konflik bersenjata yang berlarutan terutamanya di Syria, Yemen, Ukraine dan berbilang konfrontasi lain disamping ancaman kumpulan militan seperti Daesh.

Bukan sahaja dari sudut perbelanjaan ketenteraan, Washington juga merupakan pengeksport senjata terbesar di dunia pada tahun lalu diikuti Rusia dan Britain.

Menurut SIPRI dalam laporannya, penjualan senjata oleh Washington meningkat dua peratus tahun lalu kepada AS$226 bilion (RM941 bilion), manakala firma AS, Lockheed Martin kekal pengeluar senjata terbesar dunia dengan nilai jualan AS$44.9 bilion (RM187.1 bilion).

Pelanggan terbesar Washington adalah Arab Saudi diikuti oleh Emiriyah Arab Bersatu dan Australia selain 100 negara lain di dunia. Antara persenjataan paling popular yang dieksport termasuk pesawat, kereta kebal, kereta perisai, kapal perang dan peluru berpandu.

Syarikat-syarikat AS juga telah menghasilkan lebih 150 juta senjata api termasuk senapang, raifal separa automatik dan pistol sejak tahun 1986.

Rakyat AS dipercayai memiliki 40 peratus daripada keseluruhan senjata api di seluruh dunia. Setakat tahun lalu negara yang diberi gelaran Uncle Sam itu mempunyai kira-kira 325 juta penduduk.