Semua orang sedar, bila kita bersatu, kerja yang susah akan menjadi mudah. Perkara yang sukar pula akan menjadi senang.

Percayalah, jika budaya bersatu menjadi amalan hidup rakyat Malaysia, insya-Allah akan diketemu juga jalan keluar bagi menangani masalah negara dan kemelut dunia yang semakin kompleks ini.

Bagaimanapun sejarah manusia menunjukkan bukan mudah untuk insan bersatu. Bacalah sejarah negara-negara yang bergolak dan berperang sesama sendiri, antara puncanya, mereka tidak boleh bersatu dalam banyak hal termasuk bila berdepan perkara remeh serta kecil.

Masing-masing merasakan kelompok mereka sahaja yang betul serta hebat. Mereka tidak boleh menerima keputusan majoriti dan kehendak demokrasi.

Cuba lihat operasi menyelamatkan 12 ‘budak gua’ dan seorang jurulatih di Thailand.

Atas kertas misi itu mustahil. Bagaimanapun berkat bersatu dalam pekerjaan sukar selain berkongsi kepakaran serta pengalaman, kesemua yang terperangkap berhari-hari dalam gua dipenuhi air itu dapat di­selamatkan.

Itulah hebat dan dahsyatnya penangan kuasa ‘bersatu’.

Sehubungan itu, budaya memberi dan menerima perlu disemai dalam diari kehidupan harian manusia.

Sifat tidak ingin memberi cuma tahu menerima sahaja perlu dikikis jauh-jauh.

Itulah antara virus yang meruntuhkan tembok bersatu dalam kalangan masyarakat berbilang kaum dan agama khusus­nya.

Negara seperti Malaysia ini yang sudah merdeka sejak 1957 dan rakyatnya hidup aman damai, apakah amalan bersatu masih diperlukan?

Jawapannya sudah semestinya ya, sebab itu antara kunci utama mengekalkan kemerdekaan.

Apa akan jadi bila rakyat dan pemimpin tidak bersatu dan berpecah? Sudah tentu akan memudahkan, ‘musuh-musuh’ negara yang nampak dan halimunan menyelinap masuk dan merosakkan perpaduan juga kemerdekaan yang telah terbina sejak berpuluh-puluh tahun itu.

Negara kita banyak ‘musuh’ yang umpama anai-anai merosakkan tanah air tercinta ini secara diam-diam dan perlahan-lahan.

Memerangi cerdik ra­suah umpamanya yang saban hari dilaung-laungkan oleh kerajaan Malaysia Baharu, sudah semestinya memerlukan sokongan semua pihak untuk membanterasnya sehingga ke akar umbi.

Pemborong dan peniaga yang tabiat mengambil untung berlebihan dan sengaja menaikkan harga barang sampai melambung-lambung meskipun sifar Cukai Barang dan Perkhidmatan juga perlu dibendung.

Sindiket bawa masuk tenaga buruh ikut pintu belakang juga pendatang haram tidak boleh dibiarkan membiak.

Ini contoh kecil ‘musuh’ negara selain najis dadah, yang tidak boleh diletakkan di bahu penguat kuasa semata-mata.

Mana mungkin mereka dapat memantau kawasan pantai yang luas dan panjang; pusat pelacuran yang berselindung di sebalik aktiviti halal; maji­kan yang gaji buruh tak sah dan budaya wang pelincir yang hampir sebati de­ngan budaya kita.

Kalau sayangkan bumi bertuah ini serta generasi masa depan, jangan lepaskan tugas murni itu kepada pihak berkuasa dan kerajaan sahaja.

Ayuh rakyat Malaysia, kita ketepikan perbezaan agama, bangsa, bahasa serta fahaman politik.

Jadilah telinga dan mata pihak berkuasa, ramai-ramai kita tanam dan kuburkan terus ‘musuh-musuh’ negara itu.