Mereka merupakan generasi istimewa kerana memiliki segala maklumat yang dikehendaki mengenai calon dan kerajaan baharu yang menjadi pilihan mereka tanpa perlu diajar atau dipujuk. 

Setiap seorang daripada mereka memiliki bukan sahaja sebuah malah mungkin dua atau tiga buah telefon pintar sekali gus.

Tekan sahaja satu butang, perisian telefon terus berputar ke alam maya untuk mencari maklumat yang dikehendaki termasuk baik buruk perangai calon.

Ertinya, buruk atau baiknya seseorang calon dan kerajaan baharu yang hendak dipilih, mereka sendiri sudah tahu. 

Dalam era teknologi maklumat ini, tidak ada benda buruk yang boleh disorokkan lagi seperti zaman dulu kerana ia boleh terbongkar bila-bila masa di hujung jari. 

Namun penulis bertuah kerana pernah melalui kehidupan dua zaman iaitu zaman gelap tanpa internet dan zaman terang memiliki internet. 

Generasi lama sebelum penulis lagi hebat.

Mereka pernah berperang mengusir penjajah untuk membolehkan generasi internet menikmati kehidupan menyeronokkan ketika ini.

Generasi sekarang tidak pernah merasa zaman gelap.

Zaman gelap bagi generasi sekarang bukannya kerana berperang dengan musuh yang memerlukan pertumpahan darah.

Sebaliknya, zaman gelap bagi mereka ialah apabila berasa terbeban dengan peningkatan kos sara hidup, rasa bagaikan hendak mati apabila internet lembab, berasa janggal apabila memandu kereta yang masih menggunakan kunci putar di tepi stering, terseksa jika gaji tidak cukup untuk menampung keperluan hidup, sakit hati kerana terpaksa bayar tol dan sebagainya.

Kalau mereka ini kakitangan kerajaan, mereka mengutuk majikan di belakang. Semua yang kerajaan buat, ada sahaja yang tidak betul. Yang betul adalah mereka dan pihak di sebelah sana.

Tapi mereka makan juga gaji untuk membesarkan keluarga daripada duit kerja kerajaan. Mereka tidak menyenangi majikan tetapi tidak pula mahu berhenti kerja dan mencari rezeki di tempat lain. Dalam grup WhatsApp, mereka tanpa segan silu mengata dan mengumpat majikan mereka. 

Bila kerajaan umum kenaikan gaji, grup WhatsApp tiba-tiba sunyi sepi. Tidak ada satu pun ucapan terima kasih dibuat dalam grup. Bila kita jolok, sebelah petang baru jawab. Itupun katanya: “Belum tentu lagi." 

Tapi mereka ini boleh pula masukkan dalam grup tersebut gambar makan mewah-mewah dan kalau gambar percutian semestinya di negara empat musim.

Yang tidak tahannya, apabila melihat gambar posing mereka, latar belakangnya mesti diselitkan dengan gambar kereta mewah.

Itulah perangai sebahagian pengundi yang akan memilih kerajaan baharu Malaysia nanti. Ketika mereka mengeluh itu dan ini di laman-laman sosial hampir setiap hari, hakikatnya, mereka memiliki kehidupan senang. Mereka kufur nikmat. Mereka tidak berperang macam di Palestin. Mereka makan di tempat mahal. Mereka boleh ke sana ke mari dalam keadaan selamat.

Apapun, semasa mengundi nanti, kita tidak boleh halang kehendak mereka. Mereka adalah raja yang mempunyai hak sepenuhnya untuk memilih Yang Berhormat baharu di kawasan mereka. Dipendekkan kata, mereka mahu memilih calon yang benar-benar bersih. 

Calon-calon yang bertanding ketika ini pula adalah hamba kepada pengundi di zaman maklumat ini.

Penulis sendiri mahu mereka supaya jangan pangkah calon yang gagal melaksanakan tugas hakiki mereka semasa menjadi wakil rakyat. Pengundi muda ini juga jangan pangkah calon yang jelas mengamalkan prinsip perjuangan cacamarba dan tidak ada hala tuju yang jelas untuk negara dan masa depan kita semua. Semoga kita semua tidak tersalah pilih kerajaan baharu nanti. Selamat mengundi!