Tindakan itu bukan lagi suatu yang mengejutkan bagi dunia, kerana Trump dilihat sebagai seorang pemimpin yang tidak mempedulikan pandangan daripada negara lain baik sekutu atau tidak.

Melalui penguatkuasaan itu hampir AS$34 bilion (RM137 bilion) merangkumi pelbagai barangan import buatan China disenarai dikenakan cukai sebanyak 25 peratus.

Menurut Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan AS, sebanyak 818 barangan China berdepan cukai baharu tersebut sebelum dapat berada di pasaran AS.

Mengapa Trump terlalu mengambil berat mengenai tarif? Tidak lain tidak bukan kerana mahu menunaikan janji semasa kempen pilihan rayanya dengan slogan popular ‘America First’.

Beliau melihat ekonomi AS begitu tidak seimbang dalam beberapa industri tertentu yang menyebabkan barangan keluaran negara Uncle Sam itu gagal untuk bersaing dengan barangan import. Selain itu, beliau mendakwa China melakukan perniagaan secara tidak adil dengan AS serta mencuri harta intelek.

Berdasarkan laporan tahun 2016 nilai import barangan China ke AS jauh lebih tinggi iaitu AS$462 trilion (RM1.8 trilion) berbanding nilai barangan eksport ke China yang hanya berjumlah AS$115 bilion (RM466 bilion).

China menyifatkan tindakan Trump itu sebagai ‘tembakan pertama’ dalam perang perdagangan selepas beberapa sesi rundingan mencapai jalan buntu.

Sebagai tindak balas, China turut melaksanakan tindakan sama mengenakan tarif terhadap AS$34 bilion barangan AS. Tindakan tersebut menyebabkan Trump melancarkan serangan kedua dengan menyenaraikan AS$200 bilion (RM811 bilion) lagi barangan China untuk dikenakan tarif.

Perang tarif antara dua negara itu suatu yang membimbangkan kerana kesannya pasti akan menjejaskan ekonomi seluruh dunia termasuk Malaysia.

Trump sebagai seorang taikun perniagaan sudah pasti mempunyai alasan tersendiri untuk menanggung segala risiko perang tersebut. Beliau sebelum ini mengenakan tarif terhadap barangan keluli dan aluminium daripada negara sekutu seperti Kanada dan Mexico selain melibatkan sejumlah negara lagi termasuk Kesatuan Eropah (EU).

Beliau sudah tentu sedar bahawa keputusan itu bakal memberikan impak negatif kerana negara-negara yang terkesan dengan dasar ‘membina tembok’ akan bertindak balas bagi mengajar Trump bahawa AS bukan lagi ‘abang besar’ yang boleh membuli orang lain sesuka hati.

Persoalannya mampukah Trump memenangi perang perdagangan itu? Sedangkan dalam keadaan perkembangan semasa China sudah menjadi sebuah gergasi ekonomi dunia hari ini. Perdagangan negara itu menjana AS$23.12 trilion (RM93.7 trilion) pada tahun 2017 - terbesar berbanding negara-negara lain diikuti EU (AS$19.9 trilion/RM80.6 trilion) dan AS di tempat ketiga (AS$19.3 trilion/RM78.2 trilion).

Negara China dengan jumlah penduduk 1.38 bilion orang mempunyai banyak kelebihan lain seperti kos buruh yang rendah. Keadaan itu menjadikan barangan keluaran negara tersebut lebih kompetitif berbanding AS.

Malah China hari ini adalah pengeksport utama dunia bernilai AS$1.9 trilion (RM7.7 trilion) mengambil alih tempat EU tahun lalu yang menduduki tempat teratas pada tahun 2016 dengan AS$1.9 trilion (RM7.7 trilion) dan diikuti oleh AS di tempat ketiga (AS$1.6 trilion/RM6.4 trilion).

Sebenarnya banyak lagi yang boleh dihuraikan di sini mengenai China yang telah pun menguasai setiap inci ruang di planet Bumi ini. Suatu hakikat yang tiada siapa pun boleh menafikan termasuk Trump.

Terpulanglah kepada beliau untuk terus bersengketa dengan gergasi ekonomi dunia itu kerana Trump juga pastinya mempunyai senjata-senjata dan kelengkapan perang ekonomi tersendiri.

Tinggal lagi kita di Malaysia ini. Sebagai negara kecil dan kebergantungan yang tinggi dengan negara besar, seeloknya kita berhati-hati dalam melakukan sesuatu tindakan.

Jangan jadikan China sebagai bahan mainan politik untuk kepentingan peribadi dan parti. Kita bimbang silap percaturan rakyat juga yang menerima bahana. Sesal dahulu pendapatan sesal kemudian tidak berguna.