Ketika itu umat Islam di negara ini mungkin sudah pun memulakan ibadah puasa di bulan Ramadan yang bermula pada 6 Mei.

Pelaksanaan mahkamah tersebut boleh dikatakan mendapat sambutan baik dalam kalangan masyarakat dan ramai netizen di media sosial beranggapan bidang kuasa mahkamah khas syariah ini, yang dijangka antara lain boleh menyita harta suami yang culas membayar nafkah kepada isteri mampu membela nasib golongan janda dan anak-anak mereka.

Ditambah lagi dengan komen daripada Mujahid sendiri yang mengatakan hampir semua lelaki tidak mematuhi perintah mahkamah membayar nafkah kepada bekas isteri.

Sebelum ini pun masyarakat banyak didedahkan dengan pelbagai kes berhubung penceraian, terutamanya melibatkan golongan artis serta selebriti.

Sehinggakan dalam satu kes penceraian yang kompleks sekitar dua tahun lalu, seorang usahawan kosmetik pernah menuduh suaminya yang juga me­rupakan seorang artis gagal dalam menunaikan tanggungjawab memberi ‘nafkah batin’ dalam satu sidang media.

Dia kemudian menjelaskan nafkah batin yang dimaksudkan ialah mengajar isteri dan anak-anak de­ngan ilmu serta didikan agama yang sempurna.

Itu belum kes bekas suami yang dikatakan berharta, namun gagal membayar nafkah.

Menerusi pendedahan kes sebegini, diharapkan semakin ramai golongan suami yang menyedari betapa berat beban tanggungjawab yang ditanggung mereka.

Bukan sahaja ketika berkahwin, nafkah zahir dan batin perlu diberikan tanpa gagal, malah selepas bercerai pun masih ada tanggungjawab yang perlu dilunaskan tanpa sebarang alasan.

Ketika bertugas di sebuah negeri Pantai Timur tidak lama dahulu, penulis pernah menghadiri kes pence­raian di mahkamah syariah.

Pada hari berkenaan kami sebenarnya ingin mengikuti kes lain yang melibatkan perbicaraan pengikut ajaran sesat, namun kami hadir awal dan perbicaraan kes-kes penceraian melibatkan kes talak tiga sedang dijalankan.

Sekiranya melibatkan penceraian talak tiga, ia mungkin sekali bukan atas alasan remeh seperti isteri suka mengikuti rombongan beramai-ramai atau isteri suka basuh baju malam-malam.

Menariknya, dalam beberapa kes talak tiga yang sempat diikuti penulis pada hari tersebut, pasangan suami dan isteri yang terlibat mengaku tidak mahu bercerai sewaktu disoal hakim.

Si suami bagaimanapun mengaku telah melepaskan lafaz cerai di luar mahkamah kerana tertekan dengan campur tangan pihak keluarga di sebelah isteri.

Ketika itu penulis mula menyedari peranan besar yang dimainkan pihak keluarga baik di sebelah suami mahupun isteri dalam menjayakan mahupun menggagalkan sesebuah rumah tangga.

Pelaksanaan mahkamah khas perkahwinan ini amat baik bagi menyelesaikan kes-kes penceraian yang ba­nyak berlaku sekarang, namun dalam masa sama, biar­lah pendidikan dan aktiviti meningkatkan kesedaran tentang kehidupan berumah tangga turut diperkasa.

Kalau boleh biarlah tiada lagi lambakan kes-kes penceraian yang tertangguh selepas ini.