Mangsa, Nur Aisyah Aleya Abdullah dipercayai dibunuh pasangan suami isteri yang juga penjaga­nya pada 16 Februari lalu, namun ibu mangsa, Rosmaliah Samo, 31, warga Indonesia membuat laporan polis mengenai kehilangan anaknya pada 2 Mac lepas.

Lebih memilukan, hanya cebisan rambut dan tengkorak ditemui di lokasi berkenaan, manakala anggota badan lain tidak dijumpai dipercayai dimakan haiwan liar.

Kanak-kanak malang itu juga disyaki didera terma­suk dipukul dengan pe­nyangkut baju sebelum ditemui mati.

Kejadian menyayat hati itu membuka mata orang ramai dengan perasaan bercampur-baur antara terkejut, marah, sedih dan simpati dengan kejadian yang menimpa mangsa.

Meskipun pasangan suami isteri berusia 37 dan 40 yang merupakan suspek kejadian bunuh itu telah diberkas, namun ia tidak meredakan kemarahan masyarakat terhadap apa yang menimpa Nur Aisyah.

Apa yang dialami oleh anak kecil itu sukar diterima oleh masyarakat. Kenyataan suspek bertindak demikian kerana kerana Nur Aisyah kerap menangis dan sawan adalah alasan semata-mata.

Kejadian yang menimpa Nur Aisyah hanya secebis daripada kes-kes pembunuhan kejam yang berlaku di negara ini.

Ia tidak termasuk kes kematian berprofil tinggi yang berlaku ke atas Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Anthony Kevin Morais, pensyarah warga Palestin, Dr. Fadi M R Albatsh Fatma dan Timbalan Ketua Pengarah Kastam, Datuk Shaharuddin Ibrahim.

Saya pasti apabila berlaku kejadian tragis seperti itu sudah pasti kita mahukan pembelaan sewajarnya.

Mereka yang terlibat perlu dibawa ke muka pe­ngadilan dan dijatuhi hukuman setimpal atau istilah mudahnya ‘hutang nyawa dibayar nyawa’.

Keputusan kerajaan Pakatan Harapan untuk memansuhkan hukuman mati mandatori bagi 33 kesalahan di bawah lapan akta termasuk Seksyen 302 kanun Keseksaan dan digantikan dengan penjara seumur hidup sebagai alternatif pada tahun lalu mendapat reaksi pelbagai pihak.

Pemansuhan bagi hukuman mati mandatori itu merupakan sebahagian da­ripada janji yang terkandung dalam buku manifesto PH setebal 138 muka surat pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 lalu untuk menghapuskan undang-undang yang didakwa zalim.

Ramai pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO) menganggap langkah permansuhan hukuman mati mandatori itu sebagai terburu-buru dan kajian menyeluruh perlu dilakukan sebelum ia dilaksanakan.

Baru-baru ini, kerajaan sekali lagi mengulangi pendirian untuk memansuhkan hukuman mati mandatori melibatkan 11 kesalahan jenayah dan digantikan dengan hukuman mati mengikut budi bicara mahkamah.

Bagi penulis, hukuman mati mandatori masih lagi relevan di negara ini walaupun 106 negara sudah memansuhkannya, manakala 58 negara masih mengekal dan melaksanakannya termasuk Malaysia.

Bagi kesalahan yang boleh memberi impak besar kepada negara seperti mengedar dadah yang kesannya boleh merosakkan masyarakat, hukuman mati mandatori patut dilaksanakan kepada pelaku dengan mengambil kira kepentingan awam melebihi kepentingan individu.

Bagi kes bunuh pula, pertimbangan daripada ahli keluarga mangsa perlu diambil kira sebelum hukuman dijatuhkan sekiranya kerajaan benar-benar serius untuk melaksanakannya.

Seperti kata pepatah, bagai menarik rambut di dalam tepung iaitu menyelesaikan sesuatu masalah yang sulit dengan berhati-hati.