Penutupan tersebut berpunca daripada konfrontasi Trump dan barisan wakil rakyat Parti Demokrat selaku pembangkang yang menguasai Dewan Perwakilan berkenaan isu pembinaan tembok sempadan AS-Mexico yang memerlukan peruntukan awal sebanyak AS$5.7 bilion (RM23.4 bilion).

Presiden AS itu berkeras tidak sesekali akan menandatangani belanjawan bagi mengagihkan wang negara untuk memastikan kesinambungan pentadbiran selagi Dewan Perwakilan tidak meluluskan dana tembok yang beliau tuntut.

Tembok sempadan AS-Mexico itu penting buat Trump, pada hemat penulis, bukan sahaja untuk menyekat kemasukan beramai-ramai pendatang tanpa izin dan penyeludupan segala jenis dadah dari rantau Amerika Tengah dan Selatan, tetapi juga bagi memastikan keutuhan Parti Republikan yang majoritinya disokong orang kulit putih pada masa hadapan.

Bagaimanapun, itu cerita lain. Trump boleh saja mengisytiharkan darurat di kawasan sempadan sekali gus membe­lakangkan Kongres sebagai justifikasi mengambil dana tentera bagi membina tembok itu, namun enggan melakukannya, menyaksikan episod penutupan kerajaan AS berlarutan.

Pada hemat Trump, tindakan membelakangkan Kongres itu bukan teladan yang baik dalam pentadbiran negara, malah, dibimbangi akan menjadi ikutan Presiden AS seterusnya.

Beliau sebaliknya tetap mahukan Dewan Perwakilan meluluskan dana tembok sempadan AS-Mexico dan menyalahkan sikap keras kepala wakil rakyat Demokrat di Capitol Hill (Parlimen) kerana gagal mengambil kira kepentingan dan keselamatan negara.

Wakil-wakil rakyat Parti Demokrat pula tidak sesekali akan meluluskan tembok sempadan Trump kerana ia manifestasi segalanya yang bercanggah dengan dasar liberalisasi dan keadilan sosial mereka.

Begitupun, pihak yang terjejas akibat penutupan tersebut adalah 800,000 kakitangan awam persekutuan yang tiada gaji hampir sebulan. Berbeza daripada penjawat awam kita, kakitangan persekutuan AS mendapat gaji mereka setiap dua minggu, manakala negara polis dunia itu menggaji cuma kira-kira 1.8 juta kakitangan awam berbanding lebih 328 juta rakyatnya, tidak termasuk tentera dan polis.

Daripada 800,000 penjawat awam persekutuan tersebut, sekitar 380,000 orang diberikan cuti tanpa gaji, manakala selebihnya lebih perit kerana terpaksa bekerja tanpa gaji. Setakat tahun 2017, purata gaji kakitangan persekutuan kate­gori eksekutif AS ialah sekitar AS$69,350 (RM285,203) setahun.

Pada Jumaat, lalu sejarah hitam berlaku apabila 800,000 pekerja tersebut tidak mendapat gaji mereka. Ramai pekerja tersebut tidak dapat membayar ansuran bulanan atau sewa rumah, bayaran tabika dan banyak lagi.

Malah, ramai yang terpaksa menggunakan alasan cuti sakit untuk tidak hadir bekerja ke­rana sebagai penjawat awam, mereka tidak boleh menggunakan asbab remeh seperti tiada wang untuk membayar petrol, tambang pengangkutan awam atau perbelanjaan harian sebagai punca ketidakhadiran.

Lebih perit, penutupan terbaharu ini menyebabkan tiada jaminan bahawa gaji tertunggak sepanjang tempoh tersebut akan dibayar balik.

Tindakan menyaman kerajaan pula adalah tidak elok dan di luar normal sebagai penjawat awam, menyebabkan ramai antara mereka berada dalam situasi serba-salah.

Mungkin tiba masanya, pekerja di AS menubuhkan sebuah parti politik lain yang dapat memperjuangkan nasib dan menjaga kepentingan mereka seperti di Eropah. Parti yang menongkah arus dapat memecah dominasi Republikan serta Demokrat agar mereka tidak lagi menerima nasib se­perti kata pepatah, gajah sama gajah berjuang, pelanduk mati di tengah-tengah.