Tiada kor atau rejimen lain dalam TD yang mempunyai jumlah keanggotaan seramai ini selain dibarisi pegawai dan anggota daripada semua lapisan daripada peringkat bawahan sehinggalah profesional.

Jumlah keanggotaan yang besar ini termasuklah unit-unit AW yang disertai pelajar-pelajar di pusat pengajian dan kemahiran. Tidak terkecuali anggota Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) TD yang terdapat di 18 buah universiti awam.

Program latihan Palapes selama tiga tahun mengikut modul pegawai kadet pasukan tetap bagi menyediakan bakal pegawai yang terlatih dalam pasukan AW.

Palapes misalnya telah melahirkan kira-kira 19,000 siswa siswi yang terlatih dalam bidang ketenteraan sejak 37 tahun lalu.

Ramai dalam kalangan graduan Palapes ini menampilkan kualiti diri yang tinggi khususnya dalam aspek kepimpinan dan disiplin dalam bidang kerjaya masing-masing di sektor awam atau swasta hasil latihan ketenteraan yang mereka ikuti.

AW berbeza dengan pasukan sukarelawan lain kerana fungsinya sebagai barisan kedua pertahanan negara selepas pasukan tentera tetap. Sebagai perbandingan, pasukan polis walaupun bersenjata tetapi hanya berperanan sebagai penguat kuasa undang-undang serta ketenteraman dalam negara.

Pada asasnya, seseorang pegawai dan anggota AW akan menjalani latihan ketenteraan selama 53 hari dalam setahun yang dijalankan secara berfasa.

Jumlah masa ini sekiranya dilaksanakan mengikut seperti yang ditetapkan oleh pihak pemerintah pasukan adalah mencukupi untuk memantapkan kualiti latihan ketenteraan agar matlamat menjadikan warga AW yang berwibawa benar-benar tercapai.

Sepanjang penubuhannya, pegawai dan anggota AW telah membuktikan diri mereka tidak mahu ketinggalan menyahut panggilan tanah air apabila turut terlibat dalam semua insiden membabitkan keselamatan negara.

Bermula dengan ancaman pengganas komunis, konfrontasi Malaysia-Indonesia dan insurgensi, ribuan tenaga muda AW telah dikerah berkhidmat sepenuh masa ketika itu. Peristiwa banjir besar di Pantai Timur pada 2014 turut menyaksikan AW dimobilisasikan membantu kerajaan melaksanakan misi kemanusiaan.

Semua pegawai dan anggota AW tertakluk kepada Seksyen 201 Akta Angkatan Tentera (AT) 1972 yang mewajibkan mereka mengikuti latihan atau penugasan yang telah ditetapkan di bawah peraturan yang dikeluarkan oleh Majlis Angkatan Tentera.

Seksyen 201B AT 1972 pula menjelaskan bahawa majikan hendaklah memberi cuti kepada pekerjanya yang dipanggil untuk latihan atau penugasan di bawah akta ini. Keengganan majikan melepaskan pekerjanya boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih RM6,000, penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Jika majikan memberhentikan pekerjanya tanpa keizinan, mereka boleh disabitkan dengan kesalahan di bawah Seksyen 201C akta sama yang memperuntukkan hukuman serupa jika didapati bersalah.

Malangnya, masih ada majikan termasuk ketua-ketua di jabatan kerajaan yang sukar meluluskan permohonan pelepasan pekerja yang dipanggil mengikuti latihan AW termasuklah untuk menghadiri kursus.

Ramai daripada mereka (majikan) tidak menyedari adanya peruntukan hukuman tersebut, sebaliknya berpendapat kakitangan yang menyertai AW sebagai beban apabila dianggap kerap bercuti.

Kepentingan AW turut diperjelaskan dalam Dasar Pertahanan Negara (DPN). Ia menyebut bahawa Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memerlukan angkatan terlatih, berdedikasi dan profesional terdiri daripada angkatan tetap dan simpanan.

Pasukan simpanan merupakan komponen penting dalam ATM. Ini kerana pasukan simpanan adalah sebahagian daripada pasukan tetap. Pasukan simpanan boleh dimobilisasi serta memberi sokongan menjamin keselamatan negara semasa operasi selain bekerjasama dengan pihak berkuasa awam apabila diperlukan.

Cogan kata ‘Berkhidmat Untuk Negara’ menjadi aspirasi warga AW terhadap kecintaan mereka pada agama, bangsa dan tanah air.