Pasukan yang sepatutnya beraksi pada Liga FAM Malaysia (liga tahap ketiga Liga M) tiba-tiba melompat bersaing pada Liga Premier (tahap kedua Liga M) telah menimbulkan pelbagai persoalan.

Mula kedengaran khabar dan cerita bertebaran mempertikaikan kelayakan skuad Singa Utara untuk beraksi pada Liga Premier sedangkan pasukan itu menghuni tangga tercorot Kumpulan B Liga FAM musim lalu dan tidak layak dinaikkan tahap.

Apa yang peliknya, atas dasar apa Perlis mendapat keistimewaan untuk melompat tahap liga ketika itu sama ada benar-benar berdasarkan merit atau hanya menggunakan air liur semata-mata.

Pada hal, masih ada pasukan lain yang lebih layak berbanding Perlis untuk dinaikkan pangkat bersaing pada Liga Premier musim ini.

Di sebalik persoalan demi persoalan yang berlegar, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) menyatakan pendirian mereka memilih Perlis atas dasar keyakinan pasukan Singa Utara mampu memberi nilai tambah komersial pada saingan Liga M.

Pada masa itu, MFL yakin dengan kekuatan yang dimiliki Perlis dalam meningkatkan nilai komersial Liga-M berdasarkan perancangan jangka panjang Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA).

Adakah pada masa itu MFL sudah menerima dokumen sokongan secara hitam putih termasuk kewangan kukuh jutaan ringgit dalam akaun PFA hingga terlalu yakin untuk memberi keistimewaan bersyarat bagi mempromosikan Perlis ke Liga Premier.

Sebagai makluman, antara salah satu syarat dikenakan MFL kepada PFA ketika itu adalah memberikan tempoh 60 hari untuk menyelesaikan isu tunggakan gaji dan PFA pula sedia berjanji bulan dan bintang untuk melunaskannya.

Dalam kehairanan yang belum berjawab, PFA tampil mencanangkan bahawa di bawah pentadbiran serta pengurusan baharu, pasukan Perlis bakal berubah wajah dan mampu menjadi pencabar Liga Premier musim ini.

Bukan setakat itu sahaja, PFA dengan nada megah turut menetapkan bahawa misi pasukan itu juga adalah memburu slot ke Liga Super musim depan.

Sudah ibarat cacing hendak menjadi naga, lagak PFA menyebabkan bukan hanya penyokong-penyokong Perlis berasa teruja, bahkan peminat tempatan turut mahu melihat sejauh mana perginya pasukan yang sudah lama menghilang di pentas perdana bola sepak negara itu.

Pastinya semangat rakyat Perlis berkobar-kobar dengan misi serta janji-janji PFA apatah lagi mereka giat memburu bintang-bintang bola sepak negara, tidak terkecuali bersaing merebut khidmat Muhammad Akhyar Abdul Rashid.

Maka tidak hairan, berita pasukan Perlis pada awal tahun ini terpampang lebih di dada akhbar berbanding pasukan-pasukan Liga M yang sememangnya sudah sedia ternama, begitulah hebat aura skuad Singa Utara masa itu.

Malangnya, panas yang disangka ke petang, rupa-rupanya hujan di tengah hari. Sebenarnya tiada bintang dan bulan, hanya penglipur lara yang bersyair, berpantun serta berseloka mengenai mitos Singa Utara. Perlis disingkirkan daripada Liga Premier.

Seharusnya, MFL sejak awal-awal lagi tidak memberi muka kepada pasukan yang hanya tahu berjanji kerana kewibawaan badan itu juga akan menjadi taruhan dan siulan.

Siapa yang harus dipersalahkan, PFA yang menabur janji atau MFL yang memberi keistimewaan kepada Perlis untuk berjanji?.

Pada penulis, siapa yang harus dipersalahkan tidak penting kerana akhirnya yang rugi bukan MFL atau PFA tetapi bakat-bakat muda dan para peminat bola sepak negeri Perlis.