Namun, kalendar Gregorian diterima secara meluas oleh kebanyakan negara. Pelbagai peristiwa penting pada tahun 2017 kini menjadi iktibar untuk renungan dan teladan.

Azam baharu juga datang bersama tahun baru. Ada juga azam tahun lalu berkubur seperti berlalunya 2017. Sudah menjadi lumrah azam yang gagal dilaksanakan akan dibawa pada tahun 2018.

Rakan-rakan sekolah penulis juga mempunyai azam untuk menambah seorang lagi isteri tetapi tidak kesampaian walaupun tahun baru sudah tiba.

Alasan popular untuk tidak melaksanakan hasrat itu adalah kerana takut bini. Terdapat juga pasangan suami isteri berazam untuk menimbang cahaya mata.

Setiap anak yang dilahirkan pada tahun ini akan memperoleh RM200 hingga 31 Di­sember 2022. Pemberian dalam bentuk saham amanah itu dikenali sebagai Amanah Dana Anak Malaysia 2050 (ADAM 50). Pelaksanaan insentif itu mungkin akan menambah jumlah penduduk negara ini.

Seorang rakan penulis mendapat cahaya mata perempuan semalam. Rakan penulis itu bakal mendapat saham amanah untuk anaknya jika dia membuat pendaftaran di mana-mana cawa­ngan Amanah Saham Nasional Bhd. dan ejennya.

Tujuan insentif itu diperkenalkan adalah untuk menggalakkan pelaburan sejak kecil lagi. Ia merupakan satu usaha yang baik kerana ADAM 50 merupakan satu bentuk pelaburan yang selamat.

Ia tidak seperti skim pelaburan yang me­nipu pelabur dengan menjanjikan pulangan tinggi dalam masa singkat. Ramai orang yang tertipu dengan skim cepat kaya ke­rana mahu memperoleh keuntungan de­ngan segera.

Baru-baru ini terdapat seorang lelaki negara ini yang kerugian RM7,600 kerana tertipu dengan skim pelaburan mata wang digital bitcoin di laman web.

Mangsa mungkin terpedaya dengan cerita pembelian mata wang bitcoin untuk pelaburan pada masa depan.

Harga satu bitcoin bernilai AS$14,129 (RM57,375.50) menjelang sambutan Tahun Baru 2018. Harga bitcoin yang melambung tinggi itu boleh menyebabkan sesiapa sahaja mudah untuk melabur bagi mendapatkan pula­ngan lumayan.

Namun, berhati-hatilah jika melabur pada tahun ini bagi mengelak kerugian seperti kata-kata peribahasa Melayu iaitu sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya.  

Justeru, sebelum membuat keputusan, fikir dengan terperinci sebelum membuat pelaburan dalam skim cepat kaya.