Dalam persetujuan mereka, kerja mengecat tersebut bermula pada pukul 9.30 pagi, tetapi 9.15 pagi dua lelaki berkenaan sudah tercegat di depan rumahnya.Bukan itu saja, kedua-dua anak Melayu itu juga melakukan kerja mengecat di bawah panas terik matahari tanpa menghiraukan bahang yang membakar ubun-ubun kepala mereka.

Apabila diajak bersembang, rupa-rupanya kedua-dua lelaki tersebut memberitahu mereka sebenarnya ada kerja lain dan kerja mengambil upah mengecat itu pula hanyalah kerja samping­an.

Dalam kehidupan seharian, seorang daripada mereka bekerja sebagai tukang masak manakala seorang lagi sebagai pelayan di sebuah syarikat katering.

Usaha serta kerajinan mereka dalam mencari sesuap nasi ini telah membuka mata penulis bahawa rupa-rupanya masih ada anak Melayu yang bersunggug-sungguh mahu mengubah hidupnya.

Sikap yang ditunjukkan mereka membuktikan bahawa ungkapan ‘Melayu malas’ yang dimomokkan selama ini hakikatnya hampir menjadi mitos sahaja pada zaman sekarang.

Ini kerana dalam dunia yang serba mencabar ini, tiada manusia yang menolak peluang membuat rezeki. Hanya orang yang kurang cerdik sahaja yang tidak mahu mencari wang lebih.

Ya, memang tidak dinafikan masih ada Melayu yang malas, menjadi pencuri, perompak, tidak amanah dan berperangai ‘sampah’, namun masih ramai anak Melayu yang tekun dan rajin bekerja untuk hidup berjaya.

Jadi apa salahnya kalau kita jadikan anak-anak Melayu yang tekun dan rajin ini sebagai contoh yang dapat kita ikuti berbanding kita hanya mengulangi naratif Melayu malas dengan tujuan menyedarkan bangsa kita.

Ungkapan Melayu malas ini telah lama wujud dalam kalang­an orang Melayu di Malaysia dan agak menjengkelkan apabila ia selalu sangat diulang-ulang.

Sekurang-kurangnya sekali dalam hayat hidup seseorang anak Melayu itu akan mende­ngar perkataan tersebut. Namun hakikatnya, orang Melayu sebenar­nya bukanlah malas, tetapi lebih kepada tidak banyak mendapat peluang. Kalau zaman dahulu ketika tiada teknologi moden mungkin ramai yang hidup susah, namun sekarang situasinya sudah berubah.

Buktinya, lihat sahaja berapa ramai usahawan Melayu yang kini berjaya mengubah hidup mereka. Ada yang berjaya menjalankan perniagaan online, ada yang buka kedai makan dan restoran ala hipster dan ada juga yang ada atau tiga kerja samping­an dalam satu masa.

Tidak dinafikan, ada sesetengah anak Melayu kita tidak pandai cari peluang, kalau diberi peluang pun mereka lakukan kerja sekerat jalan dan kemudian berputus asa. Sikap putus asa inilah kalau difikir-fikirkan semula dalam kamus kehidupan orang Melayu, ia berkait rapat dengan erti malas, maka jadilah ungkapan Melayu malas terus menghantui seumur hidup kita.

Kalau dibandingkan dengan cerita dua lelaki tadi, penulis yakin mereka pastinya telah melalui tempoh yang mencabar dalam kehidupan yang mungkin menyebabkan mereka berputus asa. Tetapi mereka bangkit berjuang dan mencari peluang untuk berubah.

Rahsia untuk melawan mitos Melayu malas ini mudah sahaja, iaitu tekun. Tidak kiralah tekun dalam melaksanakan kerja, mencari rezeki ataupun mencari peluang untuk hidup senang.

Ini kerana tiada sifat lain yang dapat menggantikan ketekunan. Bakat tidak boleh menggantikannya kerana ada ramai orang berbakat tetapi masih tidak berjaya dalam hidup mereka.

Bak kata bekas Presiden Amerika Syarikat ke-30, John Calvin Coolidge: “Dunia ini dipenuhi dengan ramai orang bodoh yang berpendidikan.”

Oleh itu, hanya sikap ketekunan dan kecekalan yang paling kuat dan mampu mengubah nasib orang Melayu kita.

Jika kita orang Melayu me­nerapkan nilai-nilai ini dalam diri dan anak-anak kita, penulis percaya mitos Melayu Malas yang menghantui orang Melayu kita selama ini dapat dihapuskan.