Kedua-dua kenderaan tersebut terbakar. Pemandu serta penumpang bas bagaimanapun sempat menyelamatkan diri tetapi mangsa yang ­berada di dalam kereta menerima nasib sebaliknya apabila mereka gagal keluar akibat tersepit sebelum menemui ajal.

Kebetulan, ketika itu penulis melalui lokasi kejadian sewaktu anggota bomba sedang bertungkus-lumus memadamkan kebakaran dan cuba menyelamatkan mangsa-mangsa terlibat.

“Berapa orang?” penulis bertanya kepada salah seorang anggota yang baru selesai memadamkan api akibat kemalangan tersebut merujuk kepada mangsa yang rentung.

Dengan wajah sugul dia menjawab: “Empat, mungkin lebih. Mangsa di dalam bas kita tak tahu lagi,” katanya.

Riak wajah dan nada suara anggota tersebut jelas menunjukkan rasa kesal kerana tidak dapatkan menyelamatkan mangsa dalam kemalangan tersebut.

Seolah-olah mereka yang terlibat itu ahli ke­luarganya, sedangkan dia mungkin tidak kenal sama sekali dengan keluarga mangsa yang terdiri daripada pasangan suami isteri dan dua anak mereka yang bukan berasal dari daerah tersebut.

Kisah berbeza sekitar empat tahun lalu, apabila kediaman didiami penulis di Kuala Lumpur ‘di­serang’ lebah yang bersarang di sebatang pokok berhampiran beranda rumah.

Sepasukan bomba datang selepas dihubungi dan ternyata mereka kelihatan sangat ikhlas membantu walaupun tugas untuk menghalau lebah itu nampak seperti kerja remeh.

Pengalaman menerusi dua kisah ini serta beberapa kerjasama dengan anggota daripada agensi penyelamat tersebut sememangnya membuatkan penulis kagum dengan dedikasi mereka terhadap amanah yang dipikul.

Tidak kira sesukar mana tanggungjawab yang diberi, mereka melakukannya dengan ikhlas yang jelas dapat dilihat setiap kali mereka bertugas. Malah, terdapat beberapa insiden sehingga meragut nyawa anggota penyelamat berkenaan.

Bagaimanapun, insiden melibatkan seorang anggota bomba, Muhammad Adib Mohd. Kassim yang meninggal dunia Isnin lalu selepas tiga minggu bertarung nyawa akibat diserang perusuh di Su­bang Jaya, Selangor baru-baru ini meninggalkan kesan mendalam bukan sahaja kepada penulis tetapi kepada seluruh rakyat Malaysia.

Sudah tentu keluarga, tunang serta rakan setugas Muhammad Adib yang sepatutnya melangsungkan perkahwinan esok menjadi antara insan yang amat merasai kehilangan tersebut kerana pemergiannya dalam keadaan yang tragis.

Sehingga kini, penulis tidak dapat memba­yangkan kenapa pelaku terlibat tergamak untuk mencederakannya sehingga parah sedangkan kehadirannya bersama pasukan bomba di lokasi kejadian adalah kerana tugasan memadam kebakaran yang tidak melibatkan sebarang provokasi.

Semoga keadilan dapat ditegakkan untuk Muhammad Adib dan harapan penulis agar kejadian ini menjadi pengajaran buat rakyat Malaysia supaya menghargai keamanan yang dikecapi.

Jangan terlalu mudah mengikut emosi sehingga menjadikan mereka yang tidak bersalah sebagai mangsa.