Tawaran bufet Ramadan telah dibuat seawal dua bulan lalu dengan poster-poster atau promosi di laman sosial mula kelihatan. Bagi menarik kehadiran pelanggan yang ramai, pihak hotel biasanya menawarkan harga istimewa bagi tempahan awal iaitu sebelum memasuki Ramadan.

Antaranya, sebuah restoran terkemuka di Pusat Daga­ngan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur menawarkan lebih daripada 250 jenis juadah makanan sebagai sajian berbuka puasa. Kesemua juadah itu ditawarkan pada harga RM88 seorang untuk dewasa­ manakala kanak-kanak yang berumur dari tujuh hingga 12 tahun pula berharga RM45 seorang. Bagi tempahan awal sebelum Ramadan cuma dikenakan RM75 seorang bagi dewasa.

Lebih menarik, setiap hotel tampil dengan tema tersendiri seperti cita rasa Nusantara, makanan kampung, hidangan Asia Barat dan gabungan masakan Barat dan Timur. Bahkan, harga bufet lebih mahal seiring dengan tawaran menu yang disediakan. Tidak kurang hotel menyajikan kambing dan rusa golek bagi memancing kehadiran tetamu yang ramai.

Walaupun, ramai yang mengeluh ekoran kesempitan wang, namun peluang untuk berbuka di hotel dan restoran sekali gus menikmati pelbagai hida­ngan enak membuatkan ramai umat Islam ter­masuk bukan Islam tidak lokek mengeluarkan wang.

Apatah lagi, pada bulan ini, terdapat menu-menu yang sukar diperoleh pada bulan-bulan lain se­perti makanan tradisional. Ini kerana, para cef pasti berlumba-lumba untuk menghasilkan makanan istimewa. Bahkan, terdapat hotel atau restoran sanggup menggaji cef dari luar negara semata-mata ingin menyajikan makanan asli dari negara-negara tertentu seperti Asia Barat, Jepun dan Korea.

Berdasarkan pengalaman lalu, kemuncak rakyat Malaysia berbuka puasa di lokasi tersebut adalah pada minggu kedua hingga ketiga Ramadan. Ini kerana pada minggu pertama, kebiasaannya rakyat di negara ini lebih suka berbuka bersama keluarga. Pada minggu seterusnya, mereka mula mencari lokasi di luar rumah untuk berbuka puasa secara tidak langsung ia menjadi medan untuk mengeratkan hubungan atau sebagai satu penghargaan kepada ahli keluarga.

Restoran juga tidak kurang sambutannya, tambahan pula jika ia tular kerana menawarkan menu yang sedap. Selain itu, lokasi yang berdekatan dengan tempat orang ramai berbelanja untuk raya juga membuatkan restoran tiada ruang kosong untuk pelanggan duduk, Bahkan, ada yang sanggup me­nunggu orang lain selesai berbuka sebelum mereka mengambil tempat berkenaan,

Begitulah istimewanya Ramadan kepada pengusaha hotel dan restoran di negara ini. Walaupun pelbagai kritikan yang mengatakan berbuka puasa­ di hotel dan restoran satu pembaziran kerana perlu membayar harga bufet yang mahal, namun masyarakat tempatan tetap mengunjunginya atas faktor kepelbagaian makanan, suasana yang ceria, selesa selain medan mengeratkan hubungan kekeluargaan.

Justeru, pihak hotel dan restoran turut mengambil pendekatan menyediakan surau yang selesa untuk solat Maghrib berjemaah, malah tidak kurang mengambil khidmat imam sepanjang Ramadan sekali gus menawarkan solat tarawih di premis mereka.