Mungkin ketakutan sebe­gitu tidak sedahsyat ketika berada di puncak gunung yang bergoncang akibat gempa­ bumi atau tersepit dalam kengerian selepas terbabit dalam kemalangan; hanya maut dan Tuhan sahaja ada jawapan nyata!

Dalam sisi lain, ketakutan keterlaluan adakalanya sebuah fantasi, namun ketakutan boleh datang daripada seleceh-leceh perkara, misalnya keju. Ia digelar fobia.

Fobia adakala sangat remeh, bahkan boleh menjadi bahan ketawa atau modal menyakat dalam kalangan sahabat, kenalan bahkan ahli keluarga. Sama seperti pe­nyakit, fobia juga tidak diundang, ia bersifat alami sama juga dengan melatah, cuma berlainan perspektif.

Fobia akan muncul saat melihat objek atau berada pada situasi khusus. Simptom fizikal yang dapat dilihat pada orang fobia adalah ketara seperti sesak nafas cemas tanpa sebab logik.

Seorang pakar psikiatri, Dr. Daniel Zainal Abd. Rahman dalam sebuah artikel pernah menyatakan, kesan fobia akan menjurus pada sakit dada, ta­ngan dan badan menggeletar. 

Rasa tercekik, berpeluh, rasa loya daripada dalam perut dan kepala pening seperti hendak pitam. Orang yang fobia akan tertanya-tanya adakah dia di­serang serangan jantung atau strok. Dia mula hilang kawalan, semakin cemas dan terasa macam hendak mati.

Penulis mengenali seorang lelaki warga emas yang fobia masuk lif. Dia sanggup menghantar si isteri menzia­rahi atau ke rumah terbuka yang diadakan di pangsapuri berlif dan menunggu berjam-jam di dalam kereta atau kedai mamak, semata-mata mengelak daripada mema­suki lif. Hendak panjat tangga,­ dia mungkin mati sesak nafas sebelum sampai ke tingkat 13, iaitu kediaman saya. Lelaki tua itu pula, bapa saudara sendiri.

Fobia memang menggelikan hati. Ramai orang me­ngakui takut dengan pelbagai perkara, objek, binatang atau ketinggian tetapi sejauh mana ketakutan itu mencapai pe­ringkat fobia, mungkin diagnosis pakar sahaja yang tahu.

Bagi sesetengah penghidap fobia, kes gambar pegun benda pa­ling ditakuti sahaja mampu membuatkan dirinya hilang kawalan seperti meloncat ke arah yang tidak sepatutnya. Dia mungkin mencampak telefon akibat video atau gambar pegun perkara ditakutinya muncul pada skrin telefon. Kalau telefon itu pecah, kesan kejiwaan lain akan menyusul!

Terdapat sebuah cerita, ada seorang wanita yang tahap tengok gambar pacat pun boleh cemas meloncat dan pernah menangis berjam-jam hanya kerana teman sepejabat meletakkan seke­ping gambar pacat gemuk di bawah ke­kunci komputernya. Tragedi lain, banyak! Namun tidak perlu diperincikan habis-habisan.

Sebab minat yang baru bercambah. Dia telah me­nyahut satu misi pendakian ke sebuah bukit. Namun, amaran ‘tahap merah’ bagi­nya apabila bukit tersebut banyak pacat, binatang pa­ling ‘digeruni’ walaupun bagi orang lain, itu kacang. Dia juga dimomokkan dengan serangga tersebut sampailah ke hari pendakian.

Misi berjaya tetapi hanya teman sependakian yang tahu cerita di lokasi. Bagaimana si lembik itu boleh berlari lintang-pukang, menjerit, tersungkur tetapi kembali meluru laju dengan cemas tanpa hirau apa-apa kemudian hampir putus nyawa hanya sebab nampak pacat. 

Dia juga mampu meninggalkan orang lain (walaupun bukan pendaki pertama sampai ke puncak) kerana tidak mahu jejaknya disapa si kecil hitam yang pantang tersentuh terus melekat. Menulis tentangnya berulang-berulang pun jari-jemari juga sudah terasa geli dan pipi kembang loya kerana wanita dimaksudkan adalah penulis sendiri! Penulis juga kurang pasti, adakah itu fobia atau ketakutan biasa. Yang pasti, kesanggupan mendepani ketakutan itu adalah suatu pencapaian peribadi.

Kalau pun ada kaedah saintifik atau rawatan psikologi boleh digunakan untuk ra­watan berdasarkan diagnosis pakar, ia tetap penyakit dalaman yang ubatnya juga kekuatan dalaman atau semangat. Jadi mahu atau tidak, jika anda membesar dengan fobia, pandai-pandailah berurusan dengannya.