Resort bertaraf hotel empat bintang di dalam hutan itu menawarkan percutian glam­ping yang sudah lama popular se­perti glamping Whitepod di Switzerland; Paws Up di Montana, Amerika Syarikat dan glamping di Greystoke Mahale, Tanzania.

Istilah glamping itu sendiri merupakan gabungan dua perkataan iaitu glamorous cam­ping atau perkhemahan mewah di dalam hutan.

Ia menjadi kegilaan ramai kerana pengunjung boleh berselfie dalam keadaan cantik, bersih dan menarik dengan gaya tersendiri.

Gambar-gambar cantik itu kemudian dikongsi dengan rakan-rakan di laman-laman sosial terutama Instagram.

Pendek kata, glamping menterbalikkan pemikiran tipikal terhadap konsep perkhemahan tradisi yang sinonim dengan keadaan tidak selesa dan comot.

Tiada lagi keadaan khemah bocor dan dimasuki air hujan serta menikmati makanan dalam tin di bawah pokok.

Pengunjung sebaliknya tidur di dalam khemah dengan kemudahannya serba lengkap sebagaimana di hotel sambil menikmati deruan air sungai secara semula jadi.

Keadaan tandas sangat selesa dengan air pancuran membasahi kepala bagaikan hujan lebat dari langit!

Pengunjung juga menikmati sarapan, makan tengah hari dan malam di tepi tebing sungai.  Keadaan sangat cantik terutama pada waktu malam  apabila pokok-pokok berusia ratusan tahun dihiasi lampu indah.

Itulah gambaran ringkas kepada sesiapa sahaja yang mahu menikmati percutian glamping termasuklah di Resort Tanah Aina Fahad. Resort tersebut terletak berdekatan kawasan rekreasi air terjun Lata Jarum.

Pelbagai aktiviti disediakan tetapi yang lebih menarik ialah aktiviti meredah hutan hujan tropika yang tebal di kawasan tersebut.

Hutan semula jadi empat lapis yang menutupi muka bumi Ulu Dong itu dan tempat-tempat lain di negara kita benar-benar menguji ketahanan mental dan fizikal pengunjung.

Pengunjung perlu meredah hutan di tiga kawasan bukit yang agak curam dan mengambil masa dua jam.

Aktiviti lasak ini menyihatkan tubuh pengunjung.

Jangan takut kaki kejang ke­rana resort tersebut mempu­nyai pekerja yang bersedia untuk membantu anda.

Seorang pekerja dikenali sebagai Siva yang merupakan seorang bekas askar di Nepal berkata, dia pernah memikul seorang pengunjung dengan berat badan 92 kilogram selama satu jam untuk kembali ke resort selepas mangsa mengalami kekejangan teruk.

Dipendekkan kata, pengun­jung hanya akan dapat me­nikmati keadaan tersebut jika alam semula jadi sedia ada dapat dikekalkan dengan sebaik mungkin.

Pada hari terakhir, penulis dan rakan-rakan berjalan-jalan menikmati keindahan alam sekitar termasuk ladang getah di luar kawasan resort.

Dari kejauhan, kami dapat melihat buah petai berjurai-jurai pada ketinggian pokok ulam itu yang dianggarkan lebih 50 meter!   

Penulis lantas teringat, alang­kah sukarnya untuk Orang Asli mencari sesuap nasi dengan memetik buah itu pada kedudukan  sangat bahaya.

Di dalam hutan belantara, mereka juga mengutip pelbagai jenis rotan terutama manau yang mahal sebagai sumber pendapatan.

Dulu, Orang Asli Semai yang tinggal di sekitar Sungai Koyan, Pahang memburu katak untuk dijual kepada peraih.

Mereka juga mengutip buah-buahan untuk menyara diri.

Selain itu, mereka juga memburu babi hutan, ayam kampung dan monyet serta ikan di sungai untuk dimakan, bukan dijual secara besar-besaran.

Mereka tidak pernah mero­sakkan alam sekitar sebagaimana pembalak rakus memusnahkan hutan untuk mengaut untung.

Penduduk asal itu tahu kayu balak meranti, cengal, merbau, balau dan seraya sangat mahal apabila dijual.

Namun, mereka lebih selesa untuk menjalani kehidupan tradisi tanpa menyusahkan sesiapa.

Hakikatnya, mereka tergolong antara insan mulia yang menjadi wira alam sekitar tidak didendang.