Parti-parti bertanding menerusi calon masing-masing ‘berperang’ dengan masa untuk berjumpa dengan segenap lapisan pengundi bagi memikat hati untuk memilih mereka sebagai wakil rakyat sama ada di peringkat Parlimen atau Dewan Undangan Negeri.

Di sebalik kehangatan berkempen, PRU kali ini dimeriahkan dengan kehadiran ahli sukan yang mahu mencuba nasib dalam bidang politik.

Legenda bola sepak Kedah, Radhi Mat Din dicalonkan oleh Pas bertanding menentang penyandang Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar yang menyertai Parti Amanah Negara (PAN) dan bernaung di bawah Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Radhi, 53, akan berdepan saingan sengit untuk memenangi kerusi yang disandang Mahfuz selama empat penggal sejak PRU-10 kerana pertarungan 9 Mei ini bakal menyaksikan pertandingan tiga penjuru termasuk calon dari Barisan Nasional (BN), Datuk Said Ali Said Rastan.

Penglibatan atlet dalam politik tanah air bukan perkara baharu, namun tidak ramai yang dilihat cenderung dalam bidang tersebut.

Legenda bola sepak Pahang, Datuk Jamal Nasir pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beserah dari tahun 1995 hingga 1999.

Sebelum itu, Datuk Soh Chin Aun yang menyertai MCA pada awal 80-an dan bertanding menentang calon DAP, Lim Guan Eng bagi merebut kerusi Parlimen Kota Melaka pada PRU-7 tahun 1986.

Bagaimanapun, Chin Aun kalah dengan majoriti besar iaitu 17,606 undi apabila mendapat 16,967 undi berbanding Guan Eng memperoleh 34,573 undi.

Selain itu, bekas pelari pecut negara, Datuk Ellron Alfred Angin antara bekas atlet terkenal yang menjadi ahli politik selepas bersara daripada sukan.

Ellron menjadi wakil rakyat di ADUN Sook, Sabah sejak PRU-12 pada 2008 dan merupakan Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri di Pejabat Ketua Menteri Sabah.

Biarpun politik dan lapangan sukan adalah bidang berbeza, namun tetap ada persamaan iaitu kedua-dua kerjaya tersebut perlu mempunyai disiplin tinggi dan fokus dengan apa yang dilakukan.

Atlet perlu disiplin serta fokus ketika latihan dan pada kejohanan yang disertai, manakala ahli politik harus fokus untuk memenangi hati rakyat dengan menjaga kebajikan dan memikat kepercayaan mereka.

Bagi atlet yang menyinar dalam bidang sukan di pe­ringkat tempatan atau antarabangsa berpotensi untuk memenangi pilihan raya jika dipilih sebagai calon.

Populariti mampu membantu, namun mereka perlu memastikan memenuhi semua kriteria sebagai pe­mimpin khususnya berjiwa rakyat.

Ia dibuktikan menerusi populariti yang dimiliki Arnold Schwarzenegger yang menceburkan diri sebagai ahli bina badan, sebelum menjadi aktor, ahli perniagaan dan akhirnya dilantik Gabenor California pada November 2003.

Lebih menarik untuk dikongsi ialah kejayaan bekas pemain Chelsea, Manchester City dan AC Milan, George Weah yang dilantik sebagai Presiden baharu Liberia yang ke-25 pada Januari lalu.

Populariti Weah sebagai pemain profesional di pentas Eropah sejak awal 90-an hingga tahun 2003 banyak membantu pemenang Ballon d’Or pada tahun 1995 itu untuk memenangi jawatan utama dalam kerajaan.

Ibarat peribahasa Melayu untung sabut timbul, untung batu tenggelam. Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu.