Dalam Keke Challenge misalnya, seseorang harus melompat keluar dari kereta dan membiarkan pintu kenderaannya terbuka. Sambil kereta bergerak perlahan, pelaku perlu membuat beberapa gerakan tarian sambil diiringi lagu In My Feelings daripada penyanyi Kanada, Drake. Rakaman aksi Keke Challenge ini sempat membanjiri media sosial.

Belum pun habis demam Keke Challenge, kini muncul pula Momo Challenge iaitu cabaran baharu yang lebih menyeramkan dan khabarnya sudah menelan nyawa pelakunya di Argentina. Permainan ini telah menjadi viral di seluruh dunia dan mula memasuki Malaysia.

Menurut Daily Mail, Momo Challenge yang me­nyasarkan golongan remaja, mencabar pengguna berkomunikasi dengan individu dikenali sebagai ‘Momo’ menerusi aplikasi WhatsApp. Selepas itu, Momo akan menetapkan sasaran dan pengguna perlu mengikut setiap arahan. 

Jika tidak memberikan respons, Momo akan mula menakut-nakutkan pengguna termasuk ugutan untuk menyebarkan maklumat peribadi dan mencederakan ahli keluarga. Pengguna juga akan menerima pelbagai imej yang menyeramkan seperti gambar seseorang menjerut lehernya dengan kain.

Kalau difikir-fikir, apakah faedah apa mengikuti cabaran seperti itu? Mungkin tiada, selain keseronokan tanpa makna. Belum ada cerita pelajar sekolah cemerlang dalam pelajaran atau mendapat No. 1 dalam kelas gara-gara mengikuti cabaran Keke Challenge atau Momo Challenge. 

Jika aplikasi seperti itu boleh diterima atas alasan ia karya kreatif yang menjadi trend semasa, ia sesuatu yang membimbangkan. Bukan semua karya kreatif itu baik, apatah lagi jika pencipta permainan itu berkarya tanpa berpandukan wahyu. Kreativiti itu penting dalam kehidupan manusia namun harus bersifat mendidik dan bermanfaat.

Pada hakikatnya, cabaran ini dibuat mengikut acuan peradaban Barat dan hanya untuk berseronok serta memuaskan nafsu atas nama kebebasan berekspresi, yang hasilnya adalah aksi yang tidak berfaedah sama sekali.

Sebaliknya, Nabi Muhammad SAW dalam hadisnya mengingatkan agar umat Islam meninggalkan perkara yang tidak berfaedah. “Antara kebaikan seorang Muslim adalah meninggalkan hal yang tidak bermanfaat.” (Riwayat Tirmidzi dan Ibnu Majah).

Jika sesetengah anak muda zaman sekarang tergila-gilakan cabaran Keke Challenge dan Momo Challenge, anak muda zaman kegemilangan Islam pula berlumba-lumba menyahut ‘cabaran’ Allah untuk menjadi ‘umat terbaik’ atau ‘khoiru ummah’.

Jika diteliti, ramai anak muda Muslim pada masa itu yang hidupnya digunakan untuk melakar nama dalam sejarah peradaban Islam. Usamah bin Zaid contohnya, menjadi pemimpin para sahabat semasa Perang Mu’tah pada usia 18 tahun. Arqam bin Abi Arqam merelakan rumahnya dijadikan markas dakwah Rasulullah yang pertama di Mekah walaupun saat itu beliau baru berusia 12 tahun. 

Muhammad Al-Fatih menakluk Constantinople pada usia 21 tahun manakala Ibnu Sina menghafal al-Quran sejak usia lima tahun dan menjadi doktor pakar pada usia belasan tahun.

Justeru, ikutilah peradaban Islam yang menawarkan gaya hidup lebih sederhana dan tidak ikut-ikutan, berbanding peradaban Barat yang hanya melahirkan masyarakat hedonis dan gila pujian menerusi permainan tidak masuk akal.