Menurut beliau, hanya dengan meningkatkan gaji mereka mampu mengurangkan risiko rasuah dan menepis godaan-godaan melakukan kesalahan meng­ugut orang lain untuk mendapatkan duit.

Cadangan itu perlu dipertimbangkan secara serius oleh kerajaan memandangkan ketika ini ada anggota bawahan berdepan tekanan kos sara hidup. Cabaran itu tentu sahaja lebih dirasai oleh anggota yang bertugas di bandar-bandar besar.

Gaji maksimum RM4,300 sebulan bagi sarjan di Malaysia adalah rendah berbanding anggota polis berpangkat sama di Singapura (S$2,620/RM7,900), New Zealand (NZ$6,872/RM18,500) dan Australia (A$8,380/RM24,000).

Dengan tangga gaji maksimum RM4,300 bagi anggota berpangkat sarjan ketika ini, ia memang mencabar. Bahkan mungkin tidak sepadan dengan beban kerja yang penuh ancaman demi menjaga keselamatan rakyat dan negara. Mereka juga perlu bekerja tanpa mengira hari dan waktu.

Bagaimanapun, gaji naik bukan jaminan rasuah akan berkurang. Ia bukanlah penyelesaian mutlak.

Rasuah bukanlah penyakit pekerja bergaji rendah, malah ia juga melibatkan pekerja atasan.

Penahanan pegawai-pegawai kanan kerajaan oleh Suruhanjaya Pencegahan ­Rasuah Malaysia membuktikan pekerja bergaji lumayan pun tidak terlepas daripada godaan rasuah.

Antara penyelidikan popular yang mengkaji kaitan antara naik gaji dan rasuah ialah kajian yang dijalankan di Ghana oleh Agensi Pembangunan Antarabangsa Amerika Syarikat (USAID).

Pada tahun 2010, pihak pemerintah Ghana menaik­kan gaji polis di negara itu sehingga dua kali ganda selepas terdapat begitu banyak kes anggota polis memeras wang rasuah daripada pemandu-pemandu trak di jalan raya.

Menurut kajian itu yang melibatkan 2,100 pemandu trak, menaikkan gaji polis ternyata tidak berpengaruh dalam menurunkan angka rasuah.

Dengan kata lain, semakin besar gaji semakin besar pula rasuahnya.

Di Jepun misalnya, beberapa menteri dan pegawai tertinggi kerajaan terpaksa meletak jawatan selepas rahsia mereka makan suap diketahui. Sebagai contoh pada tahun 2016, Menteri Ekonomi, Akira Ama­ri berundur gara-gara rasuah. Berapakah gajinya ketika itu? Hampir RM1 juta setahun!

Pakar psikologi korupsi daripada Behavioural Insights Team di United Kingdom, Dr. David Hal­pern berkata, salah besar jika kita berfikir rasuah banyak dilakukan mereka yang bodoh dan miskin. Hakikatnya, kata beliau, kebanyakan rasuah besar dilakukan mereka yang pintar dan kaya.

Punca amalan rasuah da­lam kalangan penjawat awam ialah nafsu. Gaya hi­dup me­­lebihi pendapatan. Tidak mengukur baju di badan sendiri.

Jadi, untuk menanganinya ia lebih berkait tentang soal integriti dan prinsip.

Ia sama seperti menaikkan gaji pekerja dengan harapan dapat meningkatkan produktiviti mereka - hal yang tidak semestinya terjadi. Pekerja yang malas dan culas belum tentu termotivasi dengan naik gaji semata-mata.

Apa yang paling penting adalah integriti dan sifat amanah individu, yang pastinya dibentuk oleh pegangan agamanya.