Sejak dahulu lagi, banyak bangsa yang cuba mengangkat martabat bangsanya mengatasi bangsa-bangsa lain di seluruh dunia. Contoh bangsa yang memanipulasi fahaman ini adalah Yahudi, yang muncul sebagai bangsa terkuat di Asia Barat dengan mengatakan mereka adalah bangsa pilihan Tuhan.

Begitupun, Albert Einstein, ilmuwan dunia berketurunan Yahudi yang terkenal dengan teori relativiti berpendapat, Yahudi bukanlah bangsa pilihan seperti yang diyakini mereka selama ini. Perkara itu terungkap dalam surat Einstein bertarikh 3 Januari 1954 kepada ahli falsafah Eric Gutkind yang juga berketurunan Yahudi. Einstein me­ngatakan dia bangga menjadi orang Yahudi, namun tidak menganggap dirinya memiliki kualiti yang lebih baik berbanding manusia lain.

Fahaman ekstrem ‘bangsa terunggul’ seperti dianuti Tarrant ternyata telah melahirkan manusia yang sombong, ganas dan menindas.

Sememangnya perang dan air mata sentiasa me­ngiringi sejarah bangsa yang menganggap diri mereka terhebat pada zamannya. Semua itu dilakukan demi menunjukkan dominasinya atas suku dan atau bangsa lain. Keangkuhan bangsa Aryan misalnya menyebabkan Adolf Hitler di Jerman melakukan genosid atau pembunuhan beramai-ramai orang Yahudi.

Meskipun begitu, sejarah membuktikan tidak ada satu pun kehebatan yang dibina atas nama bangsa dapat bertahan selama-lamanya. Puak Viking di Eropah dan Aztec di Mexico telah lama lenyap.

Bangsa Mongol pimpinan Genghis Khan pada abad ke-13 lebih terkenal ganas dan kejam. Salah satu tindakan yang sangat ditakuti adalah ketika menakluk India apabila bangsa Mongol membina piramid daripada kepala manusia di hadapan tembok di Delhi. Kekuasaan Genghis Khan yang terbina atas doktrin bangsa terunggul itu juga tidak lagi tersisa pada hari ini.

Martabat sesuatu bangsa silih berganti. Suatu ketika, khususnya pada zaman penjajahan bangsa Eropah, ramai yang percaya orang Barat lebih unggul daripada orang Timur. Namun, selepas bangsa-bangsa dari Timur khususnya Jepun, Korea Selatan dan China bangkit membina empayar perusahaan seperti Honda, Samsung dan Ali­baba, sedikit demi sedikit kepercayaan bangsa kulit putih lebih hebat bertukar menjadi mitos.

Mitos warna kulit zaman moden itu boleh dikatakan telah runtuh apabila Barack Obama terpilih sebagai bangsa kulit hitam pertama menjadi Presiden Amerika Syarikat dari tahun 2009 hingga 2017.

Dalam era dunia tanpa sempadan hari ini, tinggi rendahnya pandangan orang terhadap kita bukan ditentukan oleh asal usul suku atau bangsa. Sebaliknya, semua itu ditentukan oleh cara kita membawa diri dan bagaimana cara kita memandang diri sendiri.

Inti pati fahaman ini adalah sikap sombong yang merasakan dirinya lebih bagus daripada orang lain.

Ulama terkenal, Imam Al-Ghazali mengatakan perkara yang menjadikan manusia sombong ialah ilmu, ibadah, amal, keturunan, paras rupa, kekayaan, kekuatan atau kekuasaan dan mempunyai ramai pengikut mahupun ahli keluarga. Orang yang sombong cenderung memandang rendah pada orang lain, meng­anggap dirinya lebih hebat dan berkuasa.

Allah menjelaskan dalam surah al-Hujurat ayat 13 bahawa kemuliaan insan adalah disebabkan keperibadiannya iaitu iman dan akhlak mulia yang disebut sebagai takwa.

Sabda Nabi Muhammad SAW pula: “Wahai manusia! Sesungguhnya Tuhan kamu sama, bapa kamu sama (Adam). Ketahuilah! Tiada kelebihan orang Arab ke atas Ajam (bukan Arab), atau Ajam ke atas Arab, atau yang berkulit merah ke atas yang berkulit hitam, atau yang berkulit hitam ke atas yang berkulit merah melainkan ketakwaan. (Riwayat Ahmad dan al-Baihaqi).