Namun, adakah kita memahami makna keseluruhan­nya? Penulis sendiri mengakui tidak benar-benar memahaminya sebelum ini, mungkin kerana terlalu menterjemahnya secara harfiah menyebabkan penulis memahaminya sekadar surah menghargai masa.

“Demi masa. Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali yang beriman dan beramal soleh dan berpesan-pesan pada kebenaran serta berpesan-pesan pada kesabaran.”

Sehinggalah penulis menghadiri satu ceramah agama baru-baru ini di pejabat penulis sendiri melalui program Tamankan Hati yang disampaikan oleh seorang ulama Amerika Syarikat berketurunan Syria, Sheikh Dr. Muhammad Yahya Al-Ninowy.

Ulama itu menjelaskan, surah itu sebenarnya menggariskan empat ciri manusia secara berangkai tentang kriteria manusia yang benar-benar mencintai Allah. Mereka yang beruntung itu ialah manusia yang bukan sahaja beriman tetapi membuat amal kebajikan. Mereka juga berada bersama insan-insan yang memperjuangkan kebenaran dengan sering mengingatkan sesama mereka agar bersabar kerana berjuang mene­gakkan kebaikan atau kebenaran itu ba­nyak cabaran yang memerlukan kesabaran.

“Hidup ini memang memerlukan cabaran. Tetapi cabaran itu boleh menjadi lebih mudah diharungi dengan cinta terutamanya cinta kepada Allah. Cinta itu terkandung dalam empat ciri tersebut iaitu beriman, melakukan kebaikan, kemudian berjuang untuk kebaikan dan bersabar kerana meyakini Allah bersama kita dalam perjuangan itu.

“Kerana cinta itu jugalah, Rasulullah SAW mampu bersabar apabila dicederakan dan dibaling dengan batu apabila berdakwah ke Taif,” katanya.

Menurut sirah, Nabi Muhammad tidak sedikit pun membalas bahkan mendoakan mereka diberikan hidayah ketika malaikat sudah bersedia untuk menimpakan balasan atas perbuatan kejam penduduk Taif ke atas seorang kekasih Allah.

Penulis teringat kepada insiden tembakan rambang di masjid di Christchurch, New Zealand baru-baru ini apabila 50 umat Islam terkorban. Seorang lelaki yang isterinya terbunuh dalam tragedi itu, Farid Ahmed, 59, telah mencontohi keperibadian Rasulullah dengan mempamerkan kesabaran dan menjelmakan watak pencinta itu dalam dugaan dahsyat. Bahkan, dia memilih untuk memaafkan pembunuh isterinya.

“Saya sayangkan lelaki itu. Saya fikir dia mungkin telah melalui trauma dalam hidupnya, mungkin dia tidak dicintai. Saya tidak membencinya,” katanya.

Terima kasih Farid kerana anda telah menunjukkan contoh sebenar seorang Muslim yang mana penulis percaya bukan semua orang mampu melakukannya.

Natijahnya, Farid tidak rugi bahkan Islam juga tidak rugi. Dunia berasa kagum dengan kemuliaan hati seorang Islam dan ia terbukti pada laporan-laporan akhbar di seluruh dunia, dan mungkin di situlah bibit warna teroris dan pengganas yang selama ini tercalit pada Islam akan serba sedikit pudar.

Akan tiba masanya Islam itu gemilang di dunia dan memperlihatkan kemilau keindahannya kerana ajaran Islam sebenar itu sendiri menerusi insan-insan terpilih. Bukan kerana umat kebanyakannya yang hanya mudah melenting sehingga ada yang ­me­ngangkat senjata dan menyasarkan mereka yang bukan sepatutnya lalu menghijab wajah sebenar Islam di mata dunia.

Tidak membalas bukan menandakan lemah bahkan mudah marah itulah selemah-lemah manusia.