Rata-rata mereka menyatakan rasa sangsi terhadap pelantikan dan mahu Tun Dr. Mahathir Mohamad kekal sebagai Menteri Pendidikan seperti yang diumumkan sebelum itu.

Namun Dr. Mahathir terpaksa akur untuk tidak memegang portfolio Pendidikan tersebut ekoran bercanggah dengan manifesto Pakatan Harapan yang tidak membenarkan seorang Perdana Menteri memegang jawatan lain terutamanya Menteri Kewangan.

Atas kuota Parti Pribumi Bersatu Malaysia, akhirnya Maszlee yang menang di kerusi Parlimen Simpang Renggam, Johor dilantik menduduki portfolio berkenaan.

Bekas pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia itu sebelum ini meraih populariti hasil banyak terlibat dalam pelbagai forum. Namun mengapa tiba-tiba kecenderungan agamanya dijadikan fokus oleh kelompok yang menentang pelantikannya? Mengapakah menteri-menteri sebelum ini tidak dipertikaikan sedangkan mereka juga Muslim dan sudah pasti seorang individu yang mengamalkan agama?

Sebenarnya suatu yang ironi kerana sebelum ini ramai ibu bapa Islam menganggap sekolah kebangsaan tidak cukup Islamik. Lantaran itu ramai yang lebih cenderung menghantar anak -anak ke sekolah agama atau maahad tahfiz. Kalangan bukan Islam pula menganggap sekolah kebangsaan terlalu keagamaan.

Berbalik kepada keadaan kira-kira 30 tahun dahulu, penulis mula bersekolah di sebuah sekolah kebangsaan di Sentul, Kuala Lumpur yang majo­ritinya pelajar bukan Melayu. Sewaktu mata pelajaran agama Islam, kami keluar ke kelas berasingan. Sebab murid-murid Islam sedikit. Sekolah tersebut asalnya sekolah mubaligh. Orang Islam tidak mempunyai masalah bersekolah di situ.

Kini sebahagian besar sekolah kebangsaan dipenuhi majoriti murid Melayu sekali gus menyebabkan orientasinya berbeza. Namun dari segi pembelajaran, benarkah sekolah kebangsaan terlalu keagamaan? Kokurikulum Standard Sekolah Rendah secara purata menetapkan pe­ngajaran subjek Pendidikan Islam dan moral sebanyak tiga jam seming­gu manakala bagi subjek sains sebanyak 1.5 jam seminggu. Kadar jumlah jam yang paling ba­nyak ialah bagi subjek Bahasa Me­layu (enam jam) dan Bahasa Inggeris (lima jam). Jumlah jam subjek Sains ditambah kepada dua jam seminggu bagi murid tahap dua. Pembelajaran matematik pula sebanyak empat jam seminggu bagi tahap satu dan tiga jam bagi murid tahap dua.

Secara puratanya, tempoh ma­sa pembelajaran untuk subjek bukan berkaitan agama Islam secara khusus melebihi daripada subjek Pendidikan Islam.

Jadi apa sebenarnya yang menjadi pertikaian ialah bukan pengajaran agama di sekolah. Ia telah wujud lama. Pembelajaran agama sebenarnya sudah jadi tradisi orang Melayu sejak sebelum merdeka. Agama sudah diajar di masjid dan sekolah. Agama bukannya hanya menjadi hak peribadi dan diamalkan di rumah. Pendidikan seharusnya membentuk insan yang holistik. Ada ilmu pengetahuan dan peribadi yang baik.

Cuma yang menjadi kritikan ialah orientasi keagamaan yang keterlaluan. Semua perkara dianggap agama.

Menjadi tugas penting untuk Maszlee melihat pendekatan dan silibus agama yang diajar perlu menggalakkan keharmonian dan kasih sayang. Bukannya sikap benci dan prejudis terhadap orang lain yang berbeza fahaman. Beragama memang tidak menjadi satu jenayah tetapi pihak berkuasa agama mendoktrin ada aliran yang boleh dikafir dan dibidaahkan serta meletakkan fahaman lain di kandang orang salah.

Jika demikian lebih baik sekular, agama dihadkan dalam mata pelajaran agama sahaja.

Namun masalah sebenar lebih besar daripada sekolah. Guru-guru di sekolah kadang-kadang terpengaruh dengan hal di luar sekolah. Cara berfikir masyarakat secara umumnya memang bersifat eksklusif, lantas ia dibawa ke dalam sekolah.

Sebenarnya sukar untuk bersikap terlalu membuat persepsi secara umum.

Maszlee yang dikenali sebagai Islamis sendiri pernah mengeluarkan kenyataan bahawa parti politik berasaskan Islam tidak mempunyai masa depan sekiranya mereka terus mengasingkan diri dalam gelembung serta tidak mengambil bahagian dalam masyarakat.

“Masa depan tidak bersama Islam politik, tidak bersama para Islamis, masa depan juga tidak bersama parti politik berasaskan Islam di negara-negara umat Islam. Itu hakikatnya,” kata Maszlee dalam satu forum tentang Muslim Demokrat tidak lama dahulu.

“Masa depan adalah bersama masyarakat terbuka. Islam politik mahupun Muslim demokrat tidak boleh hidup secara eksklusif,” tambah beliau lagi.