Gunung Kinabalu, biarpun seketika di atas sana namun bekalan keindahan yang dibawa pulang akan sentiasa ranum di ranting jiwa.

Sungguh, demikianlah larik kata yang terungkap atau ha­nya penulis sahaja yang meratap rindu sebegitu rupa sebaik pulang meneruskan rutin harian seperti biasa.

Jika ada pujangga berkata, kegembiraan daripada kesengsaraan dan kepayahan adalah kebahagiaan sejati. Kinabalu adalah saksi yang membuktikan segala erti.

Mendaki Kinabalu mungkin enteng buat pendaki tegar, namun buat si amatur, perjalanan sepanjang dua fasa pendakian; pertama dari Gate Timpohan ke Panalaban atau Laban Rata sejauh enam kilometer (km) bersamaan 3,272.7 meter dari aras laut; manakala fasa kedua pula dari Laban Rata ke Low’s Peak (2.8 km), adalah satu pengalaman luar biasa.

Seperti keindahan, kebesaran kuasa Tuhan dan miste­rinya Kinabalu, sebegitulah keletihan bukan kepalang yang dirasai biarpun puncak tertinggi di Asia Tenggara itu dikatakan antara yang gunung paling senang didaki (bagi penilai).

Hakikat, setiap gunung waima bukit, semuanya membentangkan cabaran tersendiri.

Ketika segala kudrat seperti telah habis ditarah, ketika itu hanya sisa-sisa semangat dengan tangan seperti dituntun malaikat sahaja yang memapah penulis untuk sampai ke Low’s Peak. Dari dataran padang batu, sayup-sayup kelibat manusia kelihatan seperti lidi di atas sana. Saat itu keterujaan berasa sudah sampai puncak tiba-tiba ranap entah ke mana.

Persoalan bagaimana mahu menempuh seksa perjalanan turun dengan jiwa merana mula berpuing-puing macam kepulan awan meliputi pandangan di bawah gunung. Sesal dahulu pendapatan sesal kemudian tidak berguna. Ketika itulah, peperangan sebenar untuk menguasai kelemahan diri bermula, perjuangan harus diteruskan.

Kata seorang pendaki berpengalaman, ada yang pernah tewas dan menyerah kalah pada ketinggian 500 atau pun 200 meter terakhir. Ketika itu, sudah tiada sesiapa yang boleh membantu seseorang pendaki ke puncak kecuali diri­nya sendiri. Sebab itulah, saat kaki sampai ke Low’s Peak, aksi pertama yang terjadi adalah tumpahan air mata yang tidak semena-mena melaju turun.

Ya, penulis tidak malu mengakui telah menangis semahu-mahunya ketika di atas sana. Sebak yang entah kenapa, salah satunya kerana syukur atas kesempatan sekali seumur hayat dan rezeki tidak terjangka.

Bercerita tentang pendakian, suatu pandangan lazim sepanjang jalan adalah kelibat individu yang mengambil upah mengangkut barangan atau lebih dikenali sebagai porter.

Terdetik juga dalam hati, halal upah yang diraih mereka untuk isi perut keluarga di rumah. Itulah hasil titik peluh sebenar, setiap sen yang diraih amatlah berharga.

Ironinya, kami para pendaki mencari penat ke Kinabalu untuk mengecap nikmat, sementelah mereka pula memerah kudrat dalam setiap nafas yang dihembuskan di gunung itu untuk meneruskan realiti sebuah kehidupan.

Tuhan Maha Adil. Dia memberikan kesukaran kepada hamba–Nya yang dirasakan mampu menanggung ujian demi sebuah nikmat di hujung sana. Begitulah juga untuk semua sahabat sebumbung di Utusan Melayu termasuk Kosmo! yang sedang diuji dengan kesempitan kewangan syarikat ini, semoga kita semua terus akan percaya bahawa setidak-tidaknya ada kesejahteraan dan ketenangan bakal raikan suatu hari nanti.