Seramai 50 orang yang terdiri daripada lelaki dan wanita berusia antara 3 hingga 77 tahun terkorban manakala 11 lagi kritikal dalam serangan yang dilakukan pengganas kulit putih berkenaan.

Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern menyifatkan kejadian tersebut merupakan hari paling gelap dalam sejarah negara itu.

Peristiwa yang amat jarang berlaku di negara mempunyai lebih kurang 40,000 penduduk Islam itu ternyata memberi kesan bukan sahaja kepada umat Islam, malah orang bukan Islam di seluruh dunia.

Ketika dunia menzahirkan perasaan marah, sedih dan pilu terhadap mangsa dan ahli keluarga mereka, rasa kagum serta tidak percaya timbul apabila salah seorang yang terselamat dalam serangan itu tampil kepada umum dan menyatakan dia memaafkan tindakan kejam pengganas tersebut.

Farid Uddin Ahmed yang kehilangan isteri, Husna Ara Parvin dalam serangan tersebut bukan sahaja memaafkan, malah tidak menyimpan dendam terhadap penyerang dan lebih mengejutkan mahu bersemuka untuk memberikannya nasihat supaya menjadi manusia yang baik.

Jika difikirkan dengan logik akal, manusia mana yang tidak rasa marah apabila insan tercinta disakiti, lebih-lebih lagi dibunuh dengan kejam. Sebagai manusia biasa pasti akan rasa lebih daripada marah.

Namun, reaksi sebaliknya yang amat menyentuh hati ditunjukkan lelaki berumur 59 tahun berasal dari Bangladesh itu.

Reaksi luar biasa ditunjukkan Farid Uddin sangat jarang dapat kita lihat dalam masyarakat moden sekarang yang banyak dihidangkan dengan kelakuan negatif dan kurang menyenangkan di media sosial.

Ternyata ia secara tidak langsung mengingatkan kita kepada keperibadian manusia teragung di muka bumi iaitu Rasulullah SAW yang mempunyai tahap kesabaran tinggi di samping sifat pemaaf yang tiada tolok bandingnya.

Tindakan itu juga bertepatan dengan firman Allah SWT dalam ayat al-Quran surah al-Mu’minun ayat 96 yang bermaksud: “Tolaklah kejahatan yang dilakukan kepadamu dengan cara yang sebaik-baik­nya, Kami Maha Mengetahui apa yang mereka katakan itu.”

Dalam dunia yang penuh dengan kekerasan dan kekejaman ini, tamadun manusia kini sememangnya memerlukan insan dengan sifat terpuji seperti Farid Uddin yang patut dicontohi segenap lapisan masyarakat khususnya umat Islam.

Orang seperti ini harus diberikan lebih banyak tumpuan dan perhatian masyarakat terutama di media sosial untuk membuka mata dan mengingatkan umat manusia mengenai kewujudan individu berhati mulia yang selama ini kurang mendapat sambutan.

Bagaimanapun, ini tidak bermakna kita ketandusan orang-orang berhati mulia di dunia ini.

Contohnya, di negara ini, kita boleh lihat beberapa ikon masyarakat seperti seorang pendakwah bebas dan pakar motivasi terkenal yang juga merupakan seorang doktor perubatan sentiasa menyebarkan perkara kebaikan tanpa jemu.

Jika mengikuti perkembangan mereka secara dekat, setiap kata-kata yang keluar daripada mulut mereka serta tulisan yang dinukil penuh dengan kebaikan, aura positif dan menyentuh hati.

Ia secara tidak langsung dapat mendorong orang yang mendengar kata-kata dan membaca nukilan mereka seterusnya mewujudkan budaya berkelakuan lebih baik terhadap semua manusia tanpa mengira bangsa, darjat dan agama.

Kata-kata hikmat buat baik kepada orang yang berbuat baik itu biasa, buat jahat kepada orang yang berbuat jahat itu dendam, buat jahat kepada orang yang berbuat baik itu zalim, buat baik kepada orang yang berbuat jahat kepada kita itu sunnah mungkin boleh dijadikan pedoman kepada kita untuk berubah menjadi manusia berhati mulia.