Individu yang bertanggungjawab mengembangkan bakat serta potensi jaguh terkenal, Kareem Abdul Jabbar itu berkata, kejayaan adalah ketenangan fikiran, hasil daripada rasa ke­puasan diri dengan mengetahui bahawa kita telah berusaha bersungguh-sungguh dan semampu mungkin untuk menjadi yang terbaik.

Katanya, kejayaan juga berpaksi kepada keberanian mencapai impian. Wooden sentiasa menasihatkan ribuan pemain dilatihnya bahawa mereka yang berjaya adalah kelompok yang berani mencuba sesuatu perkara atau perbuatan yang dianggap luar daripada kebiasaan, selain tidak sesekali merasa kesal dengan keputusan yang telah dibuat.

Pun begitu bagi kebanyakan kita, kerap kali dalam hidup ini, apa yang dikesalkan bukan apa yang kita telah buat tetapi sebenarnya apa yang kita mahu laksanakan namun tidak punya cukup keberanian untuk mencubanya.

Tidak kiralah apa jua impian yang mahu dicapai. Mahu me­lanjutkan pengajian, bertukar kerjaya, membeli rumah baharu (berhutang) atau mendirikan rumah tangga (komitmen)? Semuanya memerlukan keberanian dan iltizam diri yang tidak boleh dibeli daripada orang lain.

Ada waktunya, perasaan ragu-ragu membuatkan kita tidak berani mencuba mencapainya le­bih-lebih lagi untuk meninggalkan zon selesa di sekeliling kita. Ya, sudah elok-elok sahaja kehidupan, mengapa mahu diubah?

Misalnya, jika mendaftarkan diri di universiti atau kolej, mungkin kita terpaksa bersusah payah menelaah pelajaran dan menggunakan otak (fikiran) lebih daripada kebiasaan. Jika mahu berniaga, soal modal dan risiko kerugian sentiasa bermain di fikiran.

Begitu juga sekira kita bertukar kerjaya atau berhijrah ke organisasi baharu. Kita mungkin kehilangan seniority (kedudukan) dan jauh di sudut hati, mampukah kita bertahan di tempat dan persekitaran baharu?

Bagi yang mahu membuat pinjaman perumahan, kenderaan dan sebagainya, masing-masing dihimpit kebimbangan tidak mampu untuk melunaskan bayaran setiap hujung bulan.

Dilema sama mungkin dialami oleh kelompok bujang yang mungkin khuatir kehidupan harian mereka akan berubah 360 darjah kerana bakal dibebani tanggungjawab baharu sebagai suami, isteri, menantu atau ipar selepas berumah tangga.

Ketakutan-ketakutan ini se­dikit sebanyak menyekat bahkan membunuh impian yang lama dipasang. Dalam sebuah buku motivasi terkenal tulisan Spencer Johnson, Who Moved My Cheese?, beliau secara terperinci menjelaskan mengenai ‘ketakutan’ dalam mengejar cita-cita.

Kata Johnson, kadangkala ketakutan boleh jadi sesuatu yang bagus apabila kita takut jika kita tidak buat sesuatu, keadaan akan menjadi buruk.

Menurut beliau, ia seterusnya menjadi faktor motivasi untuk kita bergerak. Tetapi, ketakutan akan menjadi tidak baik jika ia menghalang kita daripada berbuat apa-apa. Perubahan akan berlaku apabila jika risiko atau kesakitan yang kita terpaksa hadapi jauh lebih besar daripada ketakutan untuk keluar dari zon selesa.

Khusus untuk mereka yang sedang menghadapi ketakutan kerana adanya cabaran baharu di hadapan, suka saya memetik kata-kata Johnson dalam buku yang sama: “Lebih cepat kita melepaskan keju lama, lebih cepat kita akan menemui keju baharu.”

Pastinya, apa yang kurang seronok, selepas bertahun impian-impian tersebut berkubur tanpa diusahakan, masing-masing mula mengeluarkan ayat-ayat penyesalan yang disulami de­ngan perkataan ‘kalau’, ‘jika’ dan ‘mungkin’.

“Menyesal aku tidak beli rumah ketika itu, jika (beli) tidaklah masih menyewa dan nilainya pasti naik berkali ganda”. “Kalau aku mula bisnes 10 tahun lalu, mungkin dah senang dan kaya sekarang”. “Sepatutnya aku sambung belajar, mungkin sekarang sudah ada degree (sarjana muda) atau master (ijazah sarjana)”. “Jika aku kahwin awal dulu, pasti anak-anak sudah besar sekarang.”

Percayalah, Allah pasti membantu hamba-Nya yang berusaha dan bertawakkal seperti dinyatakan menerusi firman-Nya dalam surah Ali-Imran ayat 159 yang bermaksud: “Dan apabila kamu telah membulatkan tekad, maka bertawakallah kepada Allah.”