Bukan sedikit jumlah pelawak dilahirkan program televisyen tersebut yang kini boleh dikategorikan sebagai jutawan, antaranya Mohd. Razizan Abdul Razak, Mohd. Yazid Lim Mohamad Aziz dan Ahmad Nabil Ahmad (sekadar menyebut beberapa nama).

Disebabkan Raja Lawak Astro jugalah, semakin ramai golongan muda dan kanak-kanak yang menyimpan impian serta bercita-cita untuk bergelar pelawak, satu profesion yang tidak pernah terlintas dalam fikiran generasi penulis sewaktu kami masih bersekolah dahulu.

Kini khidmat pelawak ditagih untuk melaksanakan pelbagai tugasan termasuk dalam bidang pe­ngacaraan, penyampai radio malah bagi mengisi watak utama dalam filem-filem tempatan.

Hal ini memerlukan pelawak sekarang lebih versatil, serba boleh, berpengetahuan dan sensitif dengan nilai-nilai masyarakat Malaysia yang berbilang agama dan kaum.

Bagaimanapun, lambakan pelawak dalam industri kini dilihat mewujudkan suasana persaingan yang kian sengit, mungkin sekali impak daripada pertumbuhan pertandingan lawak yang kini sudah menjadi trend di negara ini.

Pelawak seolah-olah ditekan supaya sentiasa tampil dengan idea jenaka baharu dalam setiap penampilan baik di kaca televisyen mahupun di depan khalayak umum untuk kekal relevan serta mampu bersaing dengan kehadiran muka-muka yang lebih segar.

Ia tentunya bukan mudah, dalam setiap cubaan untuk berjenaka dan menggeletek hati penonton, pasti wujud risiko lawak tersebut boleh menyinggung dan mengguris perasaan pihak lain kerana sudut pandangan setiap individu berbeza-beza.

Situasi tersebut baru-baru ini menimpa Ahmad Nabil, yang dikecam dan dituduh netizen mempersendakan busana tradisional setelah bertindak mencampak tanjak yang dipakai ketika mengendalikan rancangan Muzikal Lawak Superstar secara langsung pada Jumaat lalu.

Mungkin beliau kurang arif berhubung signifikan pemakaian tanjak yang merupakan pemakaian tertinggi dalam adat Melayu.

Pelawak berkenaan bagaimanapun segera memohon maaf menerusi akaun Instagramnya selain mengaku malu atas keterlanjuran tersebut.

Ini bukan kali pertama Nabil menerima kecaman hebat disebabkan lawak yang dianggap berlebihan, beliau sebelum ini pernah ditegur kerana mempersendakan kumpulan Caliph Buskers pada konsert pertama Gegar Vaganza 2015.

Sebagai seorang pelawak profesional dan dianggap sebagai role model terutamanya oleh golongan muda, Nabil sepatutnya lebih berhati-hati dalam setiap perlakuannya, lebih-lebih lagi ketika me­ngendalikan setiap majlis.

Meskipun ia kelihatan sukar untuk ditanggung, itulah keadaan industri pada zaman sekarang yang mana setiap perlakuan selebriti sentiasa diperhatikan.

Malah mungkin ada yang berpandangan tanggungjawab seberat itu sepadan dengan jumlah bayaran yang diterima.

Skop tugasan seorang pelawak juga kini mungkin tidak hanya semata-mata berjenaka, tetapi lebih kepada mendidik anak bangsa.