Ada sesetengah orang tidak boleh berpisah dengan telefon pintar masing-masing semata-mata untuk mendapatkan perkembangan terkini sesuatu perkara atau isu atau sekadar memuat naik status yang membuatkan pihak lain kurang selesa.

Bagi mereka, kehidupan seharian seolah-olah tidak sah dan hambar jika berenggang dengan telefon sehinggakan ada yang terus ‘menelaah’ telefon pintar sebaik sahaja ba­ngun tidur.

Jika dihitungkan kembali, media sosial sebenarnya banyak memberikan kebaikan kepada masyarakat kerana melaluinya hubungan yang lama terputus terjalin kembali.

Dengannya, manusia berhubungan dengan rakan taulan, sanak saudara dan kenalan baharu dengan berkongsi cerita, berita, dan informasi dalam bentuk teks, gambar mahupun video.

Selain itu, media sosial turut menjadi medium untuk mencari hiburan dan mengisi masa lapang.

Namun, apa yang menyedihkan, terdapat segelintir pihak menggunakan media sosial sebagai alat untuk mencari bibit-bibit pertelingkahan antara rakan-rakan yang dianggap tidak selari dengan ideologi mereka.

Seorang rakan penulis memberitahu, dalam grup WhatsApp tempat belajarnya dahulu, ramai rakannya yang minat politik memuat naik status berupa sindiran kepada ahli yang dianggap tidak sehaluan ideologi politik mereka.

Tindakan tidak bertanggungjawab itu menyebabkan ramai yang keluar daripada grup dan yang tinggal ada yang hanya mendiamkan diri, selebihnya bertindak membalas kritikan dan sindiran tersebut dengan cara lebih teruk.

Keadaan ini membuatkan grup WhatsApp yang sepatutnya diwujudkan untuk mengeratkan hubungan antara rakan-rakan lama akhir­nya berantakan dan masing-masing cuba menegakkan ideologi mereka biarpun ada yang terang-terangan salah.

Pantang ada isu terkini melibatkan pihak lawan, terus dinaikkan status tanpa menyiasat terlebih dulu kesahihannya, selain tidak menghiraukan perasaan rakan-rakan lain.

Mereka sengaja berbuat demikian bagi membuatkan rakan-rakan sakit hati, seterusnya menyemarakkan api persengketaan dan permusuhan.

Apa yang lebih menyakitkan hati menurut rakan penulis, terdapat ahli grup yang begitu taksub dengan ideologi politik parti tertentu begitu ‘pandai’ memuat naik sesuatu hadis nabi tentang perkara yang berkepentingan.

Sedangkan pada masa lain, dialah yang pa­ling sibuk memuat naik status yang menaikkan ‘suhu bilik’ grup tersebut dengan memaparkan berita berat sebelah kepartian sempit.

Ini seolah-olah selama ini dia sahaja yang betul, orang lain semua salah.

Sikap seperti ini sebenarnya harus dijauhi kerana nampak sahaja seperti alim dan beriman, tetapi hati penuh dengan tompok hitam dan kebencian mendalam sesama manusia.