Keseluruhannya, acara LTdL 2019 berjalan lancar sejak membuka tirai pada 6 April lepas dan tiada sebarang insiden yang tidak diingini berlaku sepanjang lapan hari ia berlangsung.

Memang tidak dapat dinafikan, prestij LTdL yang merupakan perlumbaan berbasikal terbesar di Asia Tenggara itu berjaya menarik pasukan-pasukan elit berbasikal dunia untuk turut serta termasuk Jelajah Dunia, Profesio­nal Benua dan pasukan benua.

Pada kali ini, sebanyak 22 pasukan melibatkan 132 pelumba daripada pasukan Profesio­nal Benua dan pasukan benua berentap pada LTdL 2019. Malangnya, disebabkan masalah teknikal dan perubahan terhadap tarikh pe­nganjuran LTdL 2019 menyebabkan tiada langsung penyertaan daripada pasukan Jelajah Dunia pada kali ini.

Sebagai rujukan, dalam senarai Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI), hanya terdapat 18 pasukan diiktiraf bertaraf Jelajah Dunia kerana mereka merupakan pasukan berbasikal lebuh raya kelas pertama yang menampilkan pelumba-pelumba terkemuka malah mempunyai ramai pengikut dan penyokong.

Ia diikuti kelompok kelas kedua iaitu pasukan Profesional Benua yang mempunyai 26 pasukan, kemudian pasukan benua biasa.

Justeru, ketiadaan pasukan Jelajah Dunia pada saingan LTdL 2019 sedikit sebanyak me­rugikan acara tahunan negara sekali gus dilihat menjejaskan impak dan kualitinya di pentas antarabangsa.

Pada penulis, sekiranya LTdL yang berstatus 2.0 HC (Hors Class) serta memiliki laluan digelar Queen Stage (Genting Highlands, Pahang) tidak mendapat penyertaan pasukan elit dunia, dikhuatiri mampu menjejaskan imej acara terbabit pada masa depan.

Namun, penganjuran LTdL kali ini boleh dikatakan masih mempunyai aura tersendiri apabila mampu menarik 400 juta penonton dunia terutama pada perlumbaan peringkat keempat iaitu Queen Stage yang disiarkan secara langsung oleh stesen televisyen Al Jazeera. Cuba bayangkan jika ada dua atau tiga pasukan bertaraf Jelajah Dunia menyer­tai LTdL, pastinya lebih banyak stesen televisyen terkenal dunia akan berkampung di Malaysia.

Sudah tentu jumlah 400 juta penonton yang direkodkan kali ini akan meningkat berkali-kali ganda. Justeru, pihak penganjur kena lebih peka dengan isu penyertaan dan tarikh pe­nganjuran dalam usaha menarik pasukan bertaraf dunia ke Malaysia tahun depan selain meningkatkan lagi kemudahan lain terutamanya pengangkutan.

Pada akhirnya, matlamat kita sama iaitu mahu LTdL menjulang nama Malaysia di pentas dunia dan pada masa sama tempiasnya memberi manfaat kepada rakyat jelata.