Seorang kawan pernah berkongsi pandangannya iaitu orang yang degil atau liat mendengar apa yang cuba disampaikan menunjukkan tahap ketebalan ego dalam dirinya.

Dalam bahasa yang lebih mudah, ia bermaksud terlalu pentingkan diri sendiri dan tidak mustahil sikap ini boleh menyemai benih-benih kemusnahan kemudian hari. Merasakan diri itu tidak perlu mendengar pandang­an orang lain boleh menjadi faktor meruntuhkan kepercayaan dan mengikis rasa hormat.

Amalan ‘mendengar dengan mata’ dan ‘melihat menerusi telinga’ adalah salah satu cara yang boleh membantu seseorang menguasai pemahaman de­ngan lebih baik.

Ia membuatkan kita mendalami apa yang difikirkan sang pencerita. Ini boleh menjadikan anda seorang ketua keluarga, pemimpin syarikat, organisasi atau masyarakat yang lebih baik.

Mendengar dengan mata memberikan akses kepada seseorang itu untuk melihat apa yang terkandung di sebalik kata-kata sang pencerita, selain maksud asal.

Selain memahami dan merasai apa yang diperkatakan, pendengar juga mendapat peluang untuk melihat cara sang pencerita berfikir.

Mereka yang suka mendengar dengan mata mudah menjiwai perasaan, memahami pilihan perkataan, mengesan nada emosi atau ekspresi wajah serta bahasa badan orang yang sedang bercerita. Inilah pro­ses komunikasi.

Beralih kepada soal kepimpinan, saya tidak menafikan kenyataan bahawa ramai ketua atau pemimpin yang masih tidak mahu mendengar kata-kata orang bawahan atau komuniti.

Sebilangan besar akan cuba mengalihkan keadaan dengan menyalahkan sesuatu atau seseorang sebagai jalan mudah keluar daripada kemelut.

Golongan ini tidak mahu memenatkan otak dan mengambil cara mudah untuk tidak menghiraukan apa yang berulang kali cuba disampaikan.

Sebenarnya, ketua atau pemimpin komuniti sebegini mengamalkan aliran komunikasi sehala iaitu dari atas ke bawah.

Mereka nampaknya masih tidak sedar bahawa mendengar itu adalah salah satu tanggungjawab mereka dalam aspek kepimpinan.

Sikap tidak mahu dengar dengan mata dan lihat guna telinga cuma akan membentuk satu persekitaran yang tidak sihat untuk keluarga, perniagaan, masyarakat dan negara.

Ini akan menjejaskan keharmonian dan mengundang lebih banyak permasalahan. Jika dibiarkan, ia boleh membawa kepada keruntuhan dalaman organisasi dan menyebabkan ketua itu hilang ‘pengikut’.

Lihat sahaja senario harian di sekeliling kita, ia sememangnya berlaku setiap hari sama ada di rumah, tempat kerja, dalam sesebuah organisasi atau kehidupan masyarakat setempat.

Adakalanya keputusan yang dibuat oleh seseorang ketua seolah-olah menunjukkan pendirian rapuhnya dan beliau tidak sedar kesannya kepada mereka di sekeliling.

Perkara ini boleh dielakkan jika suara-suara minoriti, bawahan mahupun pengikut diambil kira menerusi proses mengumpul idea, pandangan serta cadangan sebelum membuat apa-apa keputusan.

Jika diajukan soalan mengapa seseorang ketua atau pemimpin ini enggan mendengar apa yang disuarakan pekerja atau masyarakat, jawapannya mungkin kerana mereka sudah berasa selesa.