Mengapa kemahiran memasak dianggap penting sebelum seseorang mendirikan rumah tangga? Ramai yang percaya, cara paling mudah untuk ‘memikat suami’ ialah melalui masakan.

Namun, kriteria yang dianggap penting ini belum tentu menjadi ukuran kebahagiaan dalam sesebuah rumah tangga.

Belum ada kajian membuktikan bahawa pasangan yang pandai memasak membahagiakan. Ada sesetengah pasangan, meskipun mempunyai pasangan yang pandai memasak, tetapi mereka le­bih gemar menghabiskan masa di kedai makan atau warung tanpa mengira waktu seperti orang bujang.

Hari ini, persepsi bahawa setiap wanita perlu mahir memasak sebelum berkahwin sudah berubah. Keterlibatan golongan wanita dalam lapangan pekerjaan menyebabkan aktiviti memasak bukan lagi satu keutamaan walau ia satu keperluan. Memasak hanya dilakukan secara ‘sambilan’ iaitu jika ada masa terluang pada hujung minggu atau sekadar makan malam pada hari-hari tertentu.

Kepada wanita bekerjaya, jika tidak sempat memasak pilihan yang ada tentulah dengan membeli makanan di restoran, memanaskan lauk sejuk beku yang sedia dimasak atau paling tidak membuat tempahan secara online. Kepada segelintir generasi milenial, mereka juga tidak kisah jika calon isteri tidak tahu memasak.

Sebetulnya, bukan semua wanita dilahirkan mempunyai bakat memasak. Ada yang mewarisi bakat memasak secara semula jadi daripada ibu atau bapa yang mahir memasak. Ada yang mendapat pendedahan sejak kecil, lalu minat tersebut dipupuk hingga dewasa. Walaupun tidak menjadi ‘cef terkenal’ sekurang-kurang mereka mampu memasak untuk keluarga. Kepada sesetengah yang lain, mereka tidak mahir memasak tetapi terpaksa memasak kerana memenuhi selera suami dan anak-anak.

Jangan terkejut ada juga wanita yang memang langsung tidak minat ke dapur tetapi sangat beruntung ke­rana ditakdirkan berkahwin dengan lelaki yang pandai memasak. Maka, tugas memasak banyak dipikul atas bahu suami, isteri bantu mana-mana yang perlu sahaja.

Faktanya ialah makanan umpama duta kecil yang mengangkat sesebuah negara. Identiti sesebuah negara dapat dikenali melalui makanan.

Ketika berdepan dengan kenaikan kos sara hidup, industri perkhidmatan makanan menjadi antara pilihan untuk meningkatkan status ekonomi. Bahkan, permintaannya cukup tinggi dalam kalangan belia yang menceburi bidang perhotelan dan industri makanan.

Hampir sebahagian besar kolej-kolej swasta di negara ini menawarkan latihan, sijil dan diploma untuk seseorang bergelar cef. GiatMara mi­salnya, berjaya melahirkan hampir 11,000 lepasan yang memiliki kepakaran dalam bidang seni kulinari seperti pramusaji, kek dan pastri sejak kursus ini diperkenalkan 17 tahun lalu.

Kesukaran mendapatkan tenaga mahir bagi mengisi kekosongan jawatan tukang masak di restoran-restoran juga didorong dengan permintaan dan segmen pasaran yang berbeza. Rata-rata anak-anak muda hari ini lebih gemar bekerja sendiri sama ada menjadi usahawan makanan online atau bisnes trak makanan. Model perniagaan ini tentunya sesuatu yang positif jika makanan yang dijual dapat memberi kepuasan dan pilihan kepada pelanggan.

Secara jujurnya, berapa ramai yang tidak mempunyai kelulusan yang hebat dalam bidang kulinari tetapi boleh menghasilkan masakan yang hebat? Rahsianya ialah mereka memasak daripada hati. Makanan yang dimasak dengan ikhlas mampu menyentuh deria rasa mereka yang menikmatinya. Kita semua mungkin bersetuju jika dikatakan tiada makanan paling sempurna yang boleh menandingi mana-mana masakan di dunia selain air tangan ibu kita.