Peluang yang datang hanya setahun sekali ini tidak harus dilepaskan kerana pada masa inilah kita hendak mengumpul bekalan atau ‘saham’ akhirat yang masih belum mencukupi.

Mungkin ada sesetengah daripada kita yang menjadikan ketibaan bulan mulia ini bukan sahaja untuk menambah bekalan amalan dan meningkatkan keimanan, malah turut menjadikannya titik permulaan bagi menurunkan berat badan.

Tidak kiralah atas alasan apa sekali pun, sama ada ingin kelihatan cantik pada pagi raya atau menjaga kesihatan, menurunkan berat badan di bulan puasa kelihatan agak mudah untuk dilakukan.

Maklum sajalah, suasana pada siang hari di bulan Ramadan agak berbeza dengan bulan-bulan lain yang mana kebanyakan restoran ditutup dan kebanyakan orang tidak makan secara terbuka.

Tapi, harus diingat apabila tiba saja bulan puasa, ba­nyak sekali bazar Ramadan diwujudkan yang semesti­nya menawarkan pelbagai jenis makanan dan minuman untuk berbuka puasa.

Pada masa inilah cabaran sebenar muncul bagi mereka yang memasang azam menurunkan berat badan di bulan Ramadan.

Sesiapa sahaja pasti akan tergoda dengan bermacam jenis juadah lebih-lebih lagi ketika perut kosong. Semakin­ menjadi-jadilah rasa ingin ‘menyambar’ apa sahaja menu yang ada di setiap gerai.

Walaupun Islam menyuruh untuk bersederhana, iro­ninya, tanpa disedari ramai antara kita tidak dapat menahan diri daripada berbelanja berlebihan ketika berkunjung ke bazar Ramadan.

Realitinya, bukan mudah untuk mengawal nafsu di bulan puasa walaupun kita tahu syaitan dan iblis yang menggoda manusia berpuasa dirantai rapi.

Sedar atau tidak, misi menurunkan berat badan pada bulan puasa sebenarnya sedikit sebanyak dapat membantu kita daripada terlebih berbelanja ketika berbuka puasa.

Sekurang-kurangnya tidaklah berlaku pembaziran dengan membuang makanan berlebihan ke dalam tong sampah begitu sahaja.

Berdasarkan satu kajian yang dilakukan Solid Waste Management Corporation setiap tahun rakyat negara ini membazirkan sebanyak 270,000 tan makanan yang masih elok dan masih boleh dimakan sepanjang Ramadan.

Bukankah membazir itu adalah amalan syaitan seperti mana firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguh­nya orang-orang yang boros itu adalah saudara-saudara syaitan, sedangkan syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya” (Surah al-Isra’, ayat 27).

Cukuplah sekadar makan nasi sepinggan bersama sedikit lauk-pauk dan tidak menjamah makanan hingga terlalu kenyang untuk mengelakkan daripada sukar menunaikan ibadah selepas itu.

Salah satu cara yang mungkin boleh dipraktikkan supaya tidak melampaui batas ketika berbelanja untuk juadah berbuka puasa ialah dengan menyediakan senarai makanan yang ingin dinikmati dan membeli satu hari, satu juadah berlainan sepanjang Ramadan.

Oleh itu, tidak perlu lagi membazir dengan membeli bermacam-macam jenis makanan dan minuman dalam satu hari.

Namun, tak salah berbelanja lebih sedikit untuk menyediakan atau membeli makanan berbuka, asalkan kita berkongsi sedikit rezeki yang diperoleh itu dengan orang lain.

Bukankah lebih elok berkongsi lebih-lebih lagi pada bulan Ramadan yang secara langsung dapat juga menambah pahala amal jariah.