Pasti ramai yang tertanya-tanya apakah itu EIS? Tidak kurang juga ada yang marahkan kerajaan kerana membuat satu lagi potongan wajib selain caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan Pertubuhan Keselamatan Sosial.

Dakwa beberapa netizen di Facebook, pendapatan yang diterima mereka bulan lalu sedikit berbanding bulan-bulan sebelumnya dan merasakan semakin terbeban dengan pelbagai jenis potongan gaji.

Timbul juga pelbagai per­sepsi buruk terhadap kerajaan kononnya mahu ‘makan’ duit rakyat dengan melaksanakan potongan gaji tersebut.

Mereka yang tidak mengikuti perkembangan semasa pasti tidak akan mengetahui caruman baharu itu kerana mungkin sebahagian pekerja hanya menerima slip gaji yang tertera perkataan EIS.

Sebenarnya EIS dalam bahasa Inggeris ialah Employment Insurance Scheme atau bahasa Melayunya, Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) yang mula dilaksanakan pada Janua­ri tahun ini.

Insurans ini merupakan satu jaringan keselamatan sosial yang bertujuan membantu golongan pekerja swasta yang kehilangan pekerjaan untuk mendapatkan bantuan kewa­ngan dan mencari punca pendapatan baharu.

Sebenarnya potongan yang dilakukan mengikut jumlah gaji bulanan pekerja. Bukan hanya pekerja, tetapi majikan juga perlu mencarum.

Potongan terendah bermula 5 sen bagi gaji sehingga RM30 sebulan manakala gaji melebihi RM4,000 sebanyak RM7.90.

Hanya RM7.90 caruman paling maksimum yang perlu dibayar pekerja sebulan untuk mendapatkan pelbagai manfaat daripada EIS jika diberhentikan kerja oleh majikan.

Jumlah itu jauh lebih rendah berbanding harga rokok berjenama melebihi RM15 sekotak yang mungkin bertahan dalam beberapa hari sahaja.

Terdapat sekurang-kurangnya enam faedah mencarum EIS namun yang menarik perhatian ialah menerima elaun ketika sedang mencari pekerjaan bagi tempoh satu hingga enam bulan.

Diberhentikan kerja oleh majikan atas sebab-sebab tertentu termasuk syarikat atau kilang ditutup memang menyedihkan kerana kita hilang sumber pendapatan bulanan dalam sekelip mata.

Bagi suami yang hanya be­kerja seorang diri pasti akan lebih tertekan kerana terpaksa memikirkan cara lain untuk mencari rezeki bagi meneruskan kelangsungan hidup bersama isteri dan anak-anak mereka.

Dalam dunia pekerjaan sektor swasta, tiada jaminan 100 peratus semua syarikat di negara ini akan bertahan selama-lamanya kecuali mereka yang bekerja dalam perkhidmatan awam.

Waima syarikat-syarikat terkenal yang sebelum ini kukuh tahap ekonominya juga boleh gulung tikar secara berperingkat.

Sebagai contoh pasar raya borong Makro, salah sebuah syarikat terkenal dalam dunia pasar raya di Malaysia telah lenyap setelah menutup ope­rasinya pada 2006.

Selain itu, pasar raya Giant juga mula mengumumkan beberapa cawangannya di beberapa negeri ditutup bermula November tahun lalu ber­ikutan masalah sewaan premis selain sebahagian daripada strategi perniagaan syarikat itu untuk mengecilkan saiz cawangan mereka.

Beberapa kilang termasuk British American Tobacco yang beroperasi di Petaling Jaya dan sudah lama bertapak di negara ini juga ditutup.

Penutupan cawangan atau kilang pastinya akan menyebabkan sebahagian pekerja akan diberhentikan dan ditawarkan pampasan.

Kewujudan EIS ini sekurang-kurangnya dapat meringankan beban mereka yang diberhentikan kerja.

Selain itu, EIS juga akan menyediakan perkhidmatan dan sokongan pekerjaan kepada orang berinsurans tersebut untuk mendapatkan pekerjaan yang bersesuaian.

Justeru, janganlah kita terlalu berkira dengan wang untuk membayar caruman EIS sedangkan perkhidmatan lain yang tidak berfaedah mampu untuk dibeli.

Ingatlah masa depan kakitangan swasta tidak akan sentiasa cerah. Mungkin suatu hari nanti, caruman yang dianggap membebankan inilah akan membantu kita.