Jika diimbas kembali, perlombongan bauksit telah bermula di Kuantan sekitar tahun 2014 apabila hampir sejuta tan logam itu telah eksport dan jumlah itu me­ningkat secara drastik kepada 20 juta tan pada 2015.

Bauksit yang bermutu tinggi khususnya dari kawasan Felda Bukit Goh jelas sekali memberi pulangan yang mewah khususnya buat peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) selain memberi pendapatan tambahan kepada kerajaan negeri dari segi pungutan cukai.

Bagaimanapun, kaedah pelaksanaannya terutama berkaitan pengangkutan logam berkenaan dari kawasan lombong ke pelabuhan yang dilihat tidak mengikut prosedur operasi standard (SOP) menyebabkan timbulnya isu pencemaran yang teruk di sepanjang laluan.

Akibatnya, kerajaan Persekutuan terpaksa mengeluarkan arahan moratorium atau pemberhentian sementara aktiviti tersebut bermula 15 Januari 2016 sementara kajian mengenai SOP pelaksanaannya dikaji semula.

Pada pertengahan Februari lalu, kerajaan Persekutuan membuat pengumuman tempoh moratorium yang berakhir pada 31 Mac 2019 tidak akan dilanjutkan, sekali­ gus memberi gambaran aktiviti perlom­bongan logam berat itu dibenarkan untuk kembali aktif.

Keputusan itu mengundang pelbagai reaksi khususnya daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan alam sekitar selain Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh yang amat bimbang dengan SOP yang akan dilaksanakan kali ini akan menyebabkan berlaku pencemaran sungai.

Dalam ketika banyak pihak memberikan pandangan, penulis tertarik dengan luahan seorang anak peneroka Felda Bukit Goh, Kuantan yang ditemui baru-baru ini ketika sedang berurusan di sebuah premis di Bandar Maran, tidak jauh dari penempatan Felda tersebut.

Jelas lelaki berusia awal 60-an itu yang hanya ingin dikenali sebagai Pak Man, perlombongan bauksit diibaratkan sebagai durian runtuh kepada sebahagian peneroka di Felda berkenaan tatkala kebanyakan besar peneroka lain di negara ini bergelut dengan isu kejatuhan harga minyak sawit.

Menurutnya, bapanya sendiri merupakan antara penerima manfaat daripada aktiviti perlombongan itu apabila keseluruhan tanah sawit milik keluarganya yang berkeluasan kira-kira 0.4 hektar dikesan me­ngandungi logam berat itu.

“Bayangkan, jika peneroka setuju ladang mereka diuji untuk mengesan kehadiran bauksit, mereka sudah dibayar RM20,000.

“Jika bersetuju pula untuk menyerahkan ladang untuk dilombong, mereka akan menerima bayaran lain yang jumlahnya mencecah RM100,000.

“Sehingga kini, bapa saya sudah terima lebih RM2 juta dan itu baru kira-kira 50 peratus keluasan tanah dilombong. Malah ada peneroka yang sudah menerima lebih RM5 juga selepas keseluruhan ladangnya siap dilombong dan kini hidup senang lenang,” dakwanya.

Justeru katanya, keputusan kerajaan Persekutuan untuk aktiviti menamatkan tempoh moratorium itu disambut baik pemilik tanah di Felda berkenaan ke­rana ia seolah-oleh kembali menyediakan pendapatan yang lebih lumayan kepada mereka.

Jika difikirkan sejenak, mungkin benar juga kata-kata Pak Man itu dalam konteks isu kos sara hidup peneroka yang dilalui ketika ini.

Namun, kebimbangan Fuziah dan beberapa NGO alam sekitar yang telah diutarakan sebelum ini juga harus diambil kira agar wujud situasi menang-menang dalam menangani isu perlombongan bauksit di Kuantan.