Tambahan pula, Malaysia diunjurkan bakal menjadi negara tua menjelang tahun 2030, dengan anggaran populasi penduduk warga emas ketika itu pada paras sekitar 15 peratus.

Kerajaan khususnya menerusi Bank Negara Malaysia (BNM) telah mengusahakan pelbagai inisia­tif termasuk menubuhkan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit pada April 2006 untuk membantu individu mengendalikan kewangan mereka.

Bagaimanapun memasuki tahun 2019, tahap li­terasi kewangan rakyat masih berada pada paras yang tidak membanggakan.

Kajian BNM yang dibuat pada tahun lalu mendapati sebahagian besar daripada masyarakat kita tidak mampu menanggung sebarang perbelanjaan tidak dijangka, dengan 52 peratus daripada res­ponden mengakui menghadapi kesukaran untuk mengumpul wang sebanyak RM1,000 sekiranya berlaku kecemasan.

Selain itu, didapati hanya 24 peratus rakyat yakin dapat memenuhi obligasi kewangan mereka sekurang-kurangnya untuk tempoh tiga bulan jika hilang punca pendapatan.

Angka-angka ini pastinya amat membimbangkan, lebih-lebih lagi dalam suasana ketidaktentuan ekonomi sekarang yang meningkatkan risiko kehilangan pekerjaan, selain peningkatan kos sara hidup. Sememangnya tidak dapat dinafikan golo­ngan berpendapatan rendah akan menghadapi kesukaran untuk menyimpan.

Kajian Kedudukan Isi Rumah 2018 oleh Khaza­nah Research Institute mendapati isi rumah de­ngan pendapatan di bawah RM2,000 sebulan secara purata membelanjakan 95 peratus pendapatan mereka untuk keperluan asas harian, menjadikan mereka tidak mempunyai simpanan untuk menampan kesan kejutan ekonomi dan kecemasan.

Bagaimanapun, hal ini masih tidak dapat menjelaskan peratusan yang terlalu tinggi bagi golongan yang menghadapi kesukaran mengumpul RM1,000 dan mereka yang tidak yakin dapat memenuhi obligasi kewangan selama tiga bulan andainya hilang punca pendapatan dalam kajian BNM.

Tambahan pula, pendapatan rakyat Malaysia kini jauh lebih baik berbanding dahulu, dengan pendapatan median isi rumah pada 2016 berada pada RM5,228 sebulan, manakala pendapatan purata pada RM6,958 sebulan.

Penulis yakin dengan amalan budaya penguru­­­s­an kewangan berhemat selain kemampuan untuk membezakan antara keperluan dan kehendak, sebahagian besar daripada rakyat Malaysia mampu mencapai kebebasan kewangan.

Gabenor BNM, Nor Shamsiah Yunus pada Maj­lis Pelancaran Rumah Mampu Milik dan Portal Rumahku baru-baru ini mengumumkan pihaknya bersama Jaringan Pendidikan Kewangan sedang merangka satu strategi literasi kewangan kebangsaan.

Ia bertujuan meningkatkan literasi kewangan serta memupuk perilaku dan sikap kewangan berhemat. Diharapkan dengan strategi ini, penekanan terhadap pendidikan pengurusan kewangan akan bermula daripada murid sekolah rendah lagi.