Allah menggandakan pahala amalan hamba-Nya pada bulan Ramadan. Nabi SAW bersabda; Setiap amalan anak Adam pasti dilipatgandakan. Satu kebaikan akan dibalas dengan 10 kali kebaikan sehingga 700 kali ganda, bahkan sehingga gandaan tertentu sesuai kehendak Allah.

Allah berfirman: “Kecuali puasa, kerana puasa itu milik-Ku dan Akulah yang akan memberikan balasannya.”

Bahkan, pada bulan ini, Allah menjanjikan malam lailatulqadar yang disebut di dalam al-Quran dalam surah al-Qadr dan ia lebih baik daripada 1,000 bulan.

Malam tersebut tidak dinyatakan secara spesifik, tetapi menurut beberapa hadis, ia jatuh pada 10 malam terakhir Ramadan iaitu pada salah satu malam ganjil.

Antara hikmah malam ini dirahsiakan adalah agar umat Islam rajin beribadat sepanjang malam khususnya di 10 malam yang terakhir itu.

Saya dapati banyak masjid dan surau di negara ini mengadakan qiamullail yang bermaksud berjaga pada waktu malam untuk beribadat seperti bersembahyang sunat, berzikir, berdoa dan membaca al-Quran.

Selain itu, ia menggalakkan umat Islam untuk beriktikaf iaitu perbuatan duduk di dalam masjid dengan niat bermunajat kepada Allah.

Saya dapati ramai yang berusaha untuk tidak mensia-sia malam istimewa ini. Mereka tekun dan menjaga diri agar mampu berjaga pada malam-malam terakhir Ramadan sambil beribadah sepanjang malam.

Sesiapa yang beramal pada malam tersebut sama seperti beramal selama 1,000 bulan iaitu bersamaan 83 tahun empat bulan. Rasulullah SAW mengatakan sesiapa yang tidak mendapat­nya, dia adalah tergolong daripada orang yang amat rugi.

Bagi yang berkemampuan, Tanah Suci iaitu Mekah dan Madinah menjadi tumpuan utama mereka saban tahun. Ini kerana suasana pada 10 malam terakhir di sana seperti umat Islam tidak tidur. Waktu malam dihidupkan dengan beribadah.

Jutaan manusia di Mekah dah Madinah ber­usaha bersungguh-sungguh untuk mencari laila­tulqadar. Pada 10 malam terakhir ini, selepas solat tarawih selang dua jam diadakan pula qiamullail.

Walaupun imam membaca surah yang panjang, namun umat Islam tidak berganjak dan tekun beribadah sambil mendengar alunan bacaan al-Quran yang mengasyikkan daripada imam.

Masa inilah, umat Islam dapat memantapkan pembacaan dan penghayatan al-Quran dengan mendengar bacaan imam-imam di Masjid Nabawi dan Masjidilharam.

Keadaan yang sesak tersebut semakin sesak pada malam terakhir berikutan imam akan membacakan doa yang panjang ketika bersolat tahajud. Ia saat yang dinanti-nantikan seluruh umat Islam yang berada di Tanah Suci.

Suasana di Madinah kembali normal apabila ber­akhirnya Ramadan dan pemergian bulan penuh berkat ini pasti ditangisi oleh mereka yang merasai kemanisan beribadat.