Bagi mereka yang bertandang menziarahi tetangga di rumah teres atau banglo mewah, maka proses kunjungan agak mudah.

Kenderaan hanya perlu diletakkan di tepi jalan, menuju ke pintu pagar dan memberi salam.

Bagi yang berkunjung ke dewan besar atau balai raya, prosesnya lebih mudah lagi. Letakkan ken­deraan di kawasan parkir dan hanya perlu mencari meja untuk menjamu selera.

Namun, bagi mereka yang berniat untuk bertandang ke rumah pangsa, kondominium, flat atau sekategori de­ngannya, maka ia perlukan sedikit usaha.

Perkara paling penting, cari di mana letaknya lif dan anda akan sampai ke rumah dituju.

Pada hakikatnya, semua daripada kita kenal dan tahu apa itu lif.

Kamus Dewan Edisi Keempat mendefinisikan lif sebagai alat yang digunakan bagi membawa orang atau barang untuk naik dan turun di bangunan tinggi.

Lif juga sering digambarkan sebagai satu ruang yang bersih dan selesa.

Bagaimanapun, kalian jangan terkejut seandai­nya lif yang ditemui atau digunakan kelak telah bertukar menjadi sebuah ‘tong sampah’!

Situasi itu bukan sesuatu yang pelik kerana ia sebenarnya sedang berlaku pada zaman yang dikatakan serba moden dan canggih ini.

Isu lif rosak atau diro­sakkan merupakan isu biasa, tetapi menjadikan lif sebagai tong sampah bukanlah perkara yang bijak.

Seorang sahabat ada berkongsi cerita sedih dan penuh menyeksakan apabila dia terpaksa menggunakan lif di kawasan kejiranan yang dianggapnya lebih busuk daripada tong sampah.

Kata sahabat, situasi jijik itu biasanya akan berlaku pada hari Sabtu dan Ahad yang mana ia adalah hari paling sesuai bagi kebanyakan penghuni untuk mengeluarkan sampah dari rumah masing-ma­sing.

Jelasnya, sampah yang dikumpul selama se­minggu itu akan dima­sukkan ke dalam plastik tipis dengan niat untuk dibuang di kawasan pembuangan.

“Agak bertuah jika sampah itu dibungkus dengan baik, tetapi hal sebaliknya berlaku apabila sisa makanan dibiarkan bertaburan di atas lantai lif.

“Paling menjengkelkan apabila air titisan sampah turut tertumpah sehingga menghadirkan bau yang kurang me­nyenangkan,” katanya.

Menurut sahabat itu lagi, perasaan sedih bercampur malu terpaksa ditelan lebih-lebih lagi jika memikirkan ada tetamu jauh yang bertandang ke kejiranan itu.

Tanpa mahu me­nyalahkan mana-mana pihak, penulis hanya boleh beranggapan bahawa apa yang berlaku di kejiranan sahabat itu bukanlah satu kebetulan, tetapi satu budaya kotor yang perlu dihentikan.

Konsep kebersihan perlu difahami dengan betul yang mana bersih bukan hanya di dalam rumah, tetapi lebih penting adalah di kawasan sekitar kita.

Rasa tanggungjawab, tolak ansur dan sikap hormat-menghormati adalah asas-asas penting bagi mereka yang hidup berjiran.

Mungkin juga pihak pengurusan bangunan dan jawatankuasa kejiranan dapat mengambil inisiatif bagi memberi panduan kepada penghuni mengenai tatacara sebenar untuk mengurus sampah.

Suatu hari nanti, kita hanya berharap agar budaya hidup masyarakat Malaysia semakin baik, dan tidak lagi terbelenggu dengan isu-isu remeh seperti ini.