Alasan beliau mudah iaitu bagi menjaga maruah pemakaian seragam tentera.

Kata beliau yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu, seragam tentera tidak boleh dipakai oleh orang awam dan hanya boleh dipakai anggota tentera yang sudah melalui fasa latihan ketenteraan.

Ini kerana Menteri dan Timbalan Menteri Pertahanan bukanlah sebahagian daripada organisasi ketenteraan, sebaliknya mereka adalah pentadbir yang melaksanakan hal-hal dasar. Ternyata, langkah dibuat Mat Sabu disambut baik ba­nyak pihak terutama veteran tentera.

Ia secara tidak langsung menjaga kehormatan pakaian seragam tentera yang sebenarnya mempunyai kedudukan tersendiri dan bukan untuk disarungkan secara semberono.

Ini kerana untuk bergelar sebagai tentera, seseorang itu perlu mengikuti latihan keras dan lasak selama enam bulan atau sehingga setahun bagi pegawai.

Bagi pegawai tentera lepasan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia pula, latihan mereka mengambil masa sehingga empat tahun.

Jika menyertai tentera simpanan atau Askar Wataniah (AW), latihan asasnya pula selama sebulan atau tiga tahun bagi pegawai kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan di universiti awam.

Seksyen 140 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara selama dua tahun jika memakai pakaian tentera dan Seksyen 170 memperuntukkan penjara tiga bulan bagi kesalahan menyamar sebagai anggota tentera.

Ketika ini, Mat Sabu dan Timbalannya, Senator Liew Ching Tong mengenakan baju korporat rasmi (bush jacket) yang disediakan oleh Kementerian Pertahanan untuk lawatan kerja khususnya membabitkan lawatan ke markas formasi dan kem.

Walaupun Presiden Amerika Syarikat merupakan ketua angkatan tentera, tetapi belum pernah Presiden negara itu dilihat mengenakan pakaian seragam tentera lengkap dengan macam-macam lencana semasa melawat tentera termasuk di medan perang. 

Barack Obama semasa menjadi Presiden misalnya hanya menyarungkan jaket tentera pada luar pakaiannya ketika lawatan.

Begitu juga Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong walaupun beliau sendiri adalah bekas brigadier jeneral angkatan tentera republik itu.

Umumnya, terdapat 10 jenis pakaian mengikut turutan pemakaian oleh pegawai atau anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi kegunaan operasi hinggalah adat istiadat.

Misalnya, persalinan baju Melayu yang lengkap bersama kain samping, songkok atau dipanggil pakaian kebangsaan juga adalah sebahagian daripada seragam dalam ATM. Ia dipanggil baju nombor tujuh mengikut turutan dalam pemakaian seragam tentera.

Seperkara lagi ialah amalan pihak-pihak terdahulu di Kementerian Pertahanan yang gemar memberikan pangkat atau tauliah kehormat kepada ahli politik dan golongan sele­briti tanpa pertimbangan sewajarnya. Ini kerana ia sebenarnya boleh merendahkan penghormatan yang diberikan terhadap gelaran itu.

Pernah satu masa ditubuhkan sebuah platun AW yang khusus disertai golongan selebriti dan pelakon bertujuan menarik minat anak-anak muda menyertai pasukan sukarela ber­kenaan.

Selain itu, kononnya bagi menggunakan platform seni hiburan bagi meniupkan semangat patriotik.

Malangnya pelaksanaan program ini tidak sebaik peranca­ngan. Jujurnya tanpa penglibatan golongan selebriti pun AW tidak ketandusan untuk menarik penyertaan anggota baharu.

Tanpa mengharapkan imbuhan pangkat, sebenarnya sesiapa sahaja boleh memainkan peranan meniup semangat patriotik mengikut cara masing-masing.