Keadaan makin gawat apabila beberapa negara seperti Australia, Singapura, Amerika Syarikat, Britain dan Malaysia mengeluarkan amaran mela­rang perjalanan rakyat masing-masing ke Bali yang terkenal dengan jolokan Pulau 1,000 Pura atas alasan keselamatan.

“Terima kasih bapak kerana sudi berwisata (melancong) ke Pulau Bali. Pulau kami sepi (ketiadaan pelancong) apabila media sosial bilang (dakwa) gunung itu akan meletus pada hal ia aman (normal) sahaja,” kata Kadek Yanti kepada penulis ketika mengambil saya dan keluarga di Lapangan Terbang Antarbangsa Ngurah Rai, Densapar minggu lepas.

Kami lima beranak dilayan bagaikan orang kenamaan apabila dikalungkan dengan bunga kemboja yang harum baunya walaupun ia sedikit menyeramkan!.

Apa tidaknya, jika di Malaysia, bunga yang berasal dari Amerika Tengah itu sinonim sebagai tanaman di tanah perkuburan Islam, tetapi di Bali, ia menjadi identiti di pulau itu.

Maka, bermulalah perjalanan selama empat hari bagi kami melawat objek-objek (kawasan) pelancongan menarik di pulau itu. Hakikatnya kami melawat pura atau kuil Hindu berusia ratusan tahun dan terletak di kawasan yang pemanda­ngannya amat memukau.

Antara pura utama yang dilawati ialah Pura Uluwatu di tebing tinggi pantai Desa Pecatu pada ketinggian 97 meter. Ia terletak di Kecamatan Kuta,  Badung.

Pemandangan amat cantik apabila pelancong berpeluang menyaksikan keindahan ombak menghentam tebing batu nun jauh di bawah tanpa henti.

Tetapi kenangan paling menarik tentulah menyaksikan ta­rian Kecak dianggotai 71 penari lelaki dan wanita di panggung terbuka di atas tebing ber­kenaan.

Persembahan satu jam bermula pukul 6 petang itu memberi peluang kepada kami melihat kehebatan penduduk Bali mengekalkan identiti budaya mereka.

Pada kemuncak persembahan, sang Hanuman berjaya menyelamatkan diri daripada dibakar hidup-hidup.

Sebelum itu, sang Hanuman moden mencuit hati dengan berselfie bersama penonton.

Tidak dilupakan ialah pengalaman menyaksikan keindahan senja di Pura Tanah Lot.

Penulis bagaimanapun tidak dapat mengunjungi pura yang terletak di atas puncak pulau Tanah Lot itu kerana tidak sanggup menyucikan diri de­ngan air tawar yang dianggap suci oleh penganut agama Hindu di pulau itu.

Semasa dalam perjalanan, kami melihat sendiri bagaimana penganut agama Hindu menjalankan upacara pembakaran mayat penduduk yang meninggal dunia dan kemeriahan upa­cara perkahwinan.

Ketika dalam perjalanan pulang ke hotel pada waktu malam, penulis melalui Jalan Legian yang sangat sibuk kerana ia menempatkan pusat hiburan, spa dan sebagainya.

Keadaan cukup menghiburkan apabila penulis terdengar pemandu supir (teksi) di se­belah memutarkan lagu Isabella nyanyian Amy Search de­ngan begitu kuat sekali.

Pemandu kami, Putu berusia 27 tahun yang memiliki dua anak tetapi baru kematian isteri semasa bersalin hanya mampu ketawa bagaimana lagu aliran Melayu boleh berkumandang di tengah masyarakat Bali.

Lebih tidak disangka, Pre­siden Indonesia, Joko Widodo turut melakukan kunjungan dua hari ke pulau itu ketika kami berada di Bali.

“Bali ketika ini sangat tenang dan aman damai, pelancong tak perlu bimbang untuk datang,” kata Jokowi menerusi petikan video yang disiarkan menerusi JKWVlog Bali Aman.

Sebelum berlepas pulang ke Malaysia pada tengah hari Sabtu, kami turut berbaris di tepi jalan bersama pelancong asing untuk melihat Jokowi dari dekat semasa beliau keluar dari Hotel Grand Inna.  Presiden Jokowi turut melambai ke arah kami dengan penuh mesra sekali.

Nampaknya, amaran bahawa Gunung Agung bakal meletus tidak menghalang pelancong seperti kami untuk menikmati keindahan alam dan budaya Bali yang masih lagi asli.

Penerbangan AirAsia yang kami naiki semasa pergi dan balik juga sarat dengan penum­pang dari seluruh dunia.