Malah Malaysia di kedudukan kelima ter­tinggi dunia kuasa beli melalui platform e-dagang.

Menurut statistik pada tahun 2017 seramai 23 juta rakyat Malaysia mempunyai akaun media sosial Facebook dan 13 juta pula pemilik akaun Instagram berbanding jumlah penduduk negara ini ke­semuanya 32 juta.

Berdasarkan itu, sudah tentu kuasa netizen di negara ini besar, mana mungkin tidak, apabila seorang penyanyi terkenal antarabangsa, Dua Lipa terpaksa memperbetulkan keterangan gambar di laman sosial Instagramnya setelah ‘diserang’ netizen Malaysia beberapa bulan lalu.

Walaupun kisah Dua Lipa dan netizen Malaysia agak melucukan ia tetap mendapat perhatian pe­nyanyi terkenal itu hingga dia terpaksa membuat pembetulan keterangan gambar yang dimuat turun bagi mengelakkan terus ‘diserang’.

Selain kes Dua Lipa, sebuah portal berita Israel pernah ‘diserang’ netizen negara sehingga portal itu terpaksa membuang pos­ting yang menjadi kemarahan rakyat negara ini.

Tidak habis begitu sahaja, portal itu turut menyekat ribuan akaun netizen Malaysia bagi elak mereka terus meninggalkan komen negatif kepada portal berkenaan.

Selain bersikap solidariti seperti dua isu yang dinyatakan tadi, netizen Malaysia juga boleh berjenaka dan bersikap sarkastik sehingga boleh menghiburkan orang yang membacanya.

Komen jenaka mereka boleh dikatakan seumpama­ taraf program televisyen Maharaja Lawak.

Percayalah, kalau anda dalam keadaan sedih atau murung apabila membaca komen netizen di portal berita mengenai sesuatu isu akan menghiburkan hari anda.

Komen-komen jenaka itu sangat menghiburkan sehinggakan ayat-ayat berkenaan kita tidak pernah terfikir pun menulis sedemikian.

Solidariti netizen yang menjadikan sesuatu isu sebagai jenaka itu disambung-sambung oleh netizen lain sehingga menjadi berantai dan mencecah ratusan komen.

Seorang teman pernah memberitahu penulis bahawa jika penat bekerja atau dalam keadaan badmood, dia akan membaca komen di portal berita termasuk di Kosmo! Online dan boleh ketawa berdekah-dekah di depan telefon bimbit.

“Betul, komen netizen ini selain buat aku boleh naik angin, kadang-­kadang boleh hiburkan hari aku, contoh gambar pelawak ditahan semalam (kelmarin) walaupun te­lah dikaburkan mukanya tetapi­ ramai sudah boleh agak siapa.

“Netizen secara sarkastik menulis pelbagai komen lucu yang berkait-kait dengan meneka nama-nama artis lain yang tidak kena mengena langsung, solidariti mereka memang lucu,” jelas seorang teman.

Satu perkara yang ingin penulis puji mengenai netizen Malaysia adalah mereka cepat menyiasat sesuatu isu umpama korek sampai lubang cacing akaun media sosial seseorang yang mempunyai isu hangat.

Kadangkala siasatan mereka mengalahkan drama bersiri penyiasatan antarabangsa CSI contohnya, aktiviti dan jadual individu yang menjadi tumpuan itu dapat dicari dan ditularkan dalam masa singkat.

Bahaya pun ada, hebat pun ada netizen Malaysia ini, semua mereka boleh cari dan korek sampai lubang cacing sebegitu.

Tidak kurang juga yang sesetengah netizen yang cepat memberi maklumat kejadian kemala­ngan dan jenayah dengan membekalkan gambar terus kepada admin media sosial Kosmo! Online secara tidak langsung dapat membantu kerja wartawan menjadi lebih cepat dan mudah pada zaman digital ini. Terima kasih netizen.