Saluran dokumentari, National Geographic pernah melaporkan tentang peristiwa sebuah komet jatuh ke Bumi dan meletup sekitar 28 juta tahun dahulu di rantau Mesir. Letupan dahsyat itu menghasilkan gelombang panas dengan suhu mencecah 2,000 darjah Celsius sekali gus mencairkan pasir-pasir dan membentuk kaca silika yang bertaburan di kawasan seluas 6,000 kilometer persegi di Gurun Sahara.

Baru-baru ini pula, Pentadbiran Aeronautik dan Ang­kasa Lepas Kebangsaan (NASA) mengumumkan tentang kehadiran sebuah komet berbentuk seakan-akan tengkorak gergasi.

Objek ‘berwajah seram’ itu dijangka terbang menghampiri sebelum melintasi Bumi pada 11 November tahun ini, beberapa hari selepas masyarakat Barat meraikan perayaan Halloween.

Komuniti saintis menamakan komet tersebut 2015 TB145. Komet itu pertama kali ditemui oleh pasukan penyelidik Universiti Hawaii menggunakan teleskop di sebuah balai cerap di Maui pada tahun 2015.

Pada tahun tersebut, Komet Tengkorak melintasi Bumi pada 31 Oktober dalam radius hanya 1.3 jarak Bulan atau 480,000 kilometer, agak dekat bagi objek cakerawala.

Bulan pula mengelilingi Bumi pada jarak 382,400 kilometer.

Saintis-saintis percaya bahawa jasad 2015 TB145 merupakan sebuah ‘komet mati’. Komet biasanya mempunyai ‘ekor’ panjang bersinar yang terbentuk aki­bat proses pengewapan pelbagai gas dan ais ketika ia menghampiri Matahari. Sebuah komet dianggap sudah mati apabila ia hilang kesemua gas dan ais tersebut sekali gus tidak mempunyai ekor seperti 2015 TB145.

Pada tahun ini, Komet Tengkorak kembali sekali lagi untuk ‘menghantui’ penduduk Bumi tetapi pada jarak yang lebih jauh, bersamaan 105 kali ganda jarak Bulan dari Bumi.

Saiz komet itu tidak besar dengan saintis-saintis berkata, 2015 TB145 mempunyai diameter kira-kira 609 meter tetapi orang ramai tidak dapat menyaksikan fenomena alam semesta itu dengan mata kasar mereka kerana faktor saiz dan jarak.

Komet Tengkorak diklasifikasikan sebagai ‘berbahaya’ kerana saiznya dan jarak orbit yang hampir de­ngan Bumi.

Bagaimanapun, penduduk dunia tidak perlu gusar kerana ahli-ahli astronomi dan NASA menyatakan bahawa kebarangkalian 2015 TB145 melencong dan menghentam Bumi adalah sifar.

Komet Tengkorak akan sekali lagi terbang menghampiri Bumi pada tahun 2088 dan ketika itu NASA meramalkan ia berada pada jarak jutaan kilometer dari planet kita.

Pada 15 Mei tahun ini, sebuah jasad angkasa lepas lain yang dinamakan asteroid juga terbang hampir dengan Bumi. Menurut NASA asteroid atau batu angkasa dinamakan 2010 WC9 itu mempunyai saiz sebesar sebuah pesawat jumbo 747.

Asteroid itu melintasi Bumi pada jarak yang agak dekat iaitu kira-kira separuh jarak Bulan atau 203,000 kilometer. Ia terbang pada kelajuan lebih 46,000 kilometer sejam.

Ahli-ahli sains menyifatkan insiden itu sebagai perkara yang jarang berlaku.