Sehingga kini, hal-hal berkaitan Islam dan institusi raja masih terpelihara meskipun ada segelintir pihak cuba untuk menakut-nakutkan rakyat. Banyak perkara cuba dilakukan oleh kerajaan PH untuk memperbetulkan pentadbiran negara sebaik memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 pada 9 Mei lalu.

Namun, tidak semuanya mendapat sokongan penuh daripada rakyat yang kini dianggap memiliki kuasa untuk menentukan parti politik mana yang mentadbir negara. Ia satu situasi yang bagus kerana kita perlukan rakyat yang boleh berfikir dan memberikan pendapat untuk memacu negara ke arah yang lebih baik.

Bagaimanapun, sikap segelintir rakyat yang tidak sabar dan bercakap tanpa fakta mengundang lebih banyak masalah. Contohnya dalam isu pelantikan Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri dan peguam kanan, Tommy Thomas sebagai Peguam Negara yang baharu.

Ada pihak mendakwa kononnya Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V sengaja melengah-lengahkan pelantikan kedua-dua tokoh itu. Lantaran itu, netizen membuat komen-komen yang tidak sepatutnya untuk meminta Yang di-Pertuan Agong berhenti daripada mengganggu kerajaan.

Melalui komen-komen di media sosial, netizen meluahkan rasa tidak puas hati mereka yang seolah-olah mengkritik peranan Yang di-Pertuan Agong kerana mencampuri urusan negara.

Situasi itu mencetuskan perdebatan dalam kalangan netizen kerana mereka terdiri daripada para penyokong kerajaan PH dan pembangkang. Mereka memberikan pelbagai hujah untuk menyokong pendapat masing-masing. Adakalanya, hujah mereka itu langsung tidak masuk akal.

Namun, mereka tetap dengan pendirian mereka. Mereka cuba sedaya upaya mempertahankan pendapat masing-masing meskipun dengan menyuarakan fakta yang tidak kukuh. Apabila perasaan amarah telah menguasai diri, maka bermulalah episod baharu. Budi bahasa dan tatasusila sebagai orang yang beradab tidak lagi dijaga.

Komen-komen yang ditulis tidak lagi berkisar pada topik asal, sekali gus gagal membantu menyelesaikan masalah. Mereka lebih terarah untuk memaki hamun dengan menggunakan perkataan-perkataan kesat dan negatif. Ia satu situasi yang tidak baik untuk agama, bangsa dan negara.

Ia seolah-olah menunjukkan mentaliti kelas ketiga rakyat Malaysia dalam menangani sesuatu perkara yang sebenarnya tidak ada kaitan langsung dengan mereka.

Jika kita baca komen-komen tersebut, kita dapat ba­yangkan betapa ceteknya akal dan ilmu yang ada dalam dada netizen itu. Jadi, tidak hairanlah jika mereka dianggap sebagai ‘sampah’ yang menyemakkan pemikiran rakyat Malaysia.

Ini adalah antara kesan dunia siber yang boleh menyebabkan ketegangan dalam masyarakat yang berbilang bangsa, agama dan budaya. Reaksi itu dianggap sebagai pendapat kolektif umum tanpa mengira sama ada ia benar atau sebaliknya.

Keadaan ini berlaku kerana media baharu kini dilihat sebagai satu keperluan bagi rakyat Malaysia. Media baharu boleh memperbesarkan perkara-perkara yang kecil. Media baharu bersifat interaktif iaitu kita boleh berbalas komen dan berdebat, apatah lagi ditambah dengan gambar, video dan adakalanya ‘live streaming’. Ia tersebar kepada khalayak dan dalam masa singkat boleh mengundang pelbagai reaksi.

Jadi, penulis berharap netizen akan lebih terbuka untuk memberikan komen pada masa hadapan. Buatlah ‘kerja rumah’ atau kajian terlebih dahulu sebelum memberikan komen agar anda tidak kelihatan ‘bodoh’ atau cetek ilmu.