Paling trending tentulah jenaka ‘termahal’ Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V apabila menitahkan semua ahli Parlimen supaya ‘sila duduk dan jangan lari’ sebelum Seri Paduka memulakan titah ucapan perasmian di Dewan Rakyat.

Tiada siapa rasanya yang berkecil hati dengan titah gurauan Seri Paduka itu yang ditujukan khas kepada ahli-ahli Parlimen pembangkang yang sebelum ini bertindak keluar semasa bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Mohamad Ariff Md. Yusof dicalonkan sebagai Speaker Dewan Rakyat.

Sejurus Seri Paduka membuat teguran itu, laman-laman sosial seperti YouTube, WhatsApp, Twitter, Facebook, Instagram serta portal-portal berita dihujani klip video pendek aksi bersahaja Sultan Muhammad V itu yang disifatkan sebagai teguran seorang bapa terhadap tingkah laku anak.

Bukan senang untuk kita semua melihat Seri Paduka ketawa kecil secara langsung di kaca televisyen apatah lagi ia membuatkan kita semua berasa gembira di seluruh negara walaupun ‘macai-macai’ parti politik menggunakan aksi itu untuk ‘membawang’ atau menyindir dan mengata musuh mereka.

Turut mencuit hati ialah beberapa kisah di internet yang menimbulkan tanda tanya semasa persidangan Parlimen berlangsung. Antara kisah tersebut ialah tentang kemunculan entiti misteri menyeramkan yang muncul di belakang seorang ahli Parlimen dan disifatkan netizen sebagai ‘hantu dewan’. Sejurus gambar tersebut tersebar, banyak pihak menyifatkannya sebagai telah disunting dan ia bukanlah perkara luar biasa untuk dilakukan oleh mereka yang kerjanya ialah memfitnah.

Namun, keadaan sebaliknya berlaku apabila beberapa jam selepas itu, muncul pula sekeping gambar yang menunjukkan ‘entiti’ tersebut bergambar bersama seorang ahli Parlimen negara kita. Sebuah portal propembangkang melahirkan kecurigaan tentang bagaimana lelaki misteri itu boleh dibawa ke Dewan Rakyat.

Turut menimbulkan tanda tanya adalah apabila tersebarnya gambar menu jamuan tengah hari di Parlimen yang menunjukkan mereka menikmati hidangan mewah termasuk daging wagyu dari Jepun. Carian di internet menunjukkan harga da­ging lembu itu mencecah RM2,000 sekilogram.

“Sedih Nabeel tau abang, kakak semua. Mengadu rakyat kata hutang negara banyak, RM1 trilion tapi belakang rakyat mereka order daging lembu wagyu masak kicap kentang,” usik netizen berkenaan.

Daging wagyu terkenal dengan tekstur marbling atau lapisan lemak di antara daging yang memberi rasa lemak dan enak serta boleh cair di mulut ketika dimakan. Semakin ba­nyak lapisan marbling pada daging tersebut, maka makin mahal da­ging tersebut.

Dalam bahasa Jepun, wa bermakna Jepun manakala gyu bermakna daging lembu. Tetapi menurut carian di internet, sebuah ladang di Australia menyembelih lembu wagyu secara terhad iaitu 30 ekor sebulan untuk pasaran di seluruh dunia termasuk Malaysia.

Namun, Parlimen dalam satu kenyataan semalam memaklumkan menu tambahan tersebut disediakan sendiri oleh pihak katering di meja makan utama untuk lapan orang tetamu dan bukan disajikan kepada kesemua jemputan yang hadir.

Apapun kisah jenaka Sultan Muhammad V, entiti misteri di Parlimen dan daging wagyu sedikit sebanyak menenggelamkan buat seketika keluh-kesah rakyat terhadap kos sara hidup yang setakat ini sedikit sebanyak berjaya dikurangkan oleh kerajaan sedia ada.

Kita tidak boleh mengharapkan kerajaan menunaikan manifesto mereka semasa kempen Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) sepenuhnya termasuk menghapuskan tol di lebuh raya.

Usah mimpilah untuk kita semua menikmati petrol pada harga RM1.50 seliter sebagaimana dijanjikan sebelum PRU-14. Terimalah harga petrol sedia ada RM2.20 seliter bagi RON95 kerana sekarang ialah tahun 2018, bukan tahun 1988 atau 1998.

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pun sudah berkata, Pakatan Harapan tidak perlu mengotakan segala janji manifestonya kerana ia bukan kitab suci sebaliknya panduan semata-mata.