Video berdurasi selama 39 saat yang diiringi lagu kumpulan UNIC bertajuk Ainul Mardhiah itu memaparkan bayi berusia sembilan bulan dengan wayar yang ditebuk pada lehernya. Bayi itu menggerak-gerakkan lidah sambil matanya merenung tajam wajah ibunya, si­tuasi yang mampu menitiskan air mata sesiapa sahaja.

Kisah Ainul Mardhiah, bayi pramatang berusia 10 bulan yang menghidap ketumbuhan sel germa mendapat perhatian rakyat Malaysia termasuk pelatih perubatan pembedahan yang berpangkalan di London, Dr. Nur Amalina Che Bakri untuk membantu merawatnya.

Menggunakan media sosial sebagai platform me­ngajak rakyat Malaysia membantu si kecil ini, akhirnya Ainul Mardhiah, kedua-dua ibu bapanya dan dua pakar bius dari Malaysia, Dr. Gunalan Arumugam dan Kolonel (B) Datuk Dr. Jaseemuudeen Abu Bakar tiba di London bagi misi membuang ketumbuhan tersebut. Pembedahan penuh emosi selama lima jam dan menelan kos lebih RM1 juta itu diketuai Prof. David Dunway, pakar bedah kelahiran Malaysia, Dr. Juling Ong bersama sekumpulan doktor pakar The Imperial College Healthcare NHS, London terma­suk Nur Amalina.

Budi baik Nur Amalina ini mengingatkan penulis kepada seorang pakar bedah saraf yang berkongsi pe­ngalamannya tidak lama dahulu. Menurut beliau, ketika sedang mengetuai satu pembedahan pesakit, beliau menerima satu panggilan telefon yang menyatakan bahawa anaknya yang berumur sekitar 5 tahun terjatuh dan mengalami kecederaan.

Disebabkan beliau mengetuai satu pembedahan agak kritikal yang tidak memungkinkannya meninggalkan pesakit tersebut, maka beliau serahkan urusan merawat anaknya kepada doktor lain. Namun, takdir tertulis. Anaknya menghadap Ilahi ketika diberi rawatan akibat kecederaan serius pada kepala. Walau pahit menerima berita kehilangan anak bongsunya, namun beliau sedikit pun tidak menyesal kerana di sebalik kedukaan yang ditanggung beliau telah memberi senyuman kepada keluarga pesakit yang dirawatnya.

Dalam bahasa Latin, doktor membawa maksud guru atau orang yang bertugas merawat orang sakit. Namun, bukan semua individu yang menyembuhkan pe­nyakit dipanggil doktor. Di Malaysia, setakat ini nisbah doktor adalah satu bagi setiap 520 pesakit yang masih belum memenuhi sasaran sepatutnya iaitu 1:450.

Mereka yang memilih kerjaya doktor adalah insan yang memiliki faktor ‘X’ dalam diri. Selain bertanggungjawab menyelamatkan nyawa, mereka sanggup berkorban untuk insan-insan yang tidak pernah mereka kenali. Bergelar doktor, ia bukan kerjaya yang terikat dengan waktu pejabat atau sekadar makan gaji. Paling luar biasa, mereka hebat ‘menyembunyikan’ emosi diri.Ubat yang dibekalkan bukanlah rawatan mutlak tetapi layanan doktor dengan mempamerkan wajah manis dan kata-kata semangat menjadi penawar buat si pesakit. Kita boleh melunaskan berapa pun jumlah bil kepada hospital, tetapi kita tidak mampu membayar budi baik seorang doktor yang tinggi kemanusiaannya.

Dari satu sisi, Nur Amalina berjaya memberi inspirasi kepada doktor-doktor muda bahawa walau dunia perubatan terkehadapan dari segi teknologi dan kepakaran, nilai kemanusiaan mengatasi segala-galanya.

Saban hari inilah yang dilakukan oleh setiap pengamal perubatan di sekeliling kita, cuma usaha dan pe­ngorbanan mereka tidak diketahui umum. Sama ada sedar atau tidak, setiap daripada kita pernah mendapat sentuhan daripada doktor yang merawat kita. Kepada semua pengamal perubatan, baik yang merawat manusia atau haiwan, sebenar­nya anda adalah adi wira di hati kami.