Tidak pernah ada Yang di-Pertuan Agong sebelum ini yang meletakkan jawatan. Justeru, keputusan untuk turun takhta itu telah menarik perhatian lapisan masyarakat di negara ini dan ahli akademik yang mengkaji sistem pentadbiran dan institusi Raja Berperlembagaan.

Sebelum ini Maharaja Jepun, Maharaja Akihito berusia 85 tahun mengumumkan akan turun takhta pada 30 April ini atas faktor kesihatan. Tempat baginda digantikan oleh anakanda maharaja itu, Putera Mahkota Naruhito.

Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Begawan Almarhum Sultan Haji Sir Muda Omar Ali Saifuddien III juga pernah turun takhta sebagai Sultan Brunei pada tahun 1967 sebelum digantikan oleh anakanda baginda, Sultan Hassanal Bolkiah.

Terdapat banyak lagi raja yang turun takhta di beberapa negara asing. Namun, keputusan Sultan Muhammad V melepaskan jawatan Yang di-Pertuan Agong dianggap sesuatu yang mengejutkan oleh rakyat negara ini.

Akhbar-akhbar perdana semalam turut menyiarkan keputusan peletakan jawatan secara mengejut itu pada muka depan. Portal-portal berita juga tidak terkecuali melaporkan perkara yang sama selepas Istana Negara mengeluarkan kenyataan akhbar.

Ketertiban Sultan Muhammad V meletakkan jawatan Yang di-Pertuan Agong dimaklumkan oleh Datuk Pengelola Bijaya Diraja Negara, Datuk Wan Ahmad Dahlan Ab. Aziz dalam satu kenya­taan akhbar petang kelmarin.

Dalam kenyataan itu, Yang di-Pertuan Agong telah memaklumkan keputusan meletakkan jawatan secara rasmi kepada Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja melalui warkah yang diutuskan kepada Setiausaha Majlis Raja-Raja.

Ketertiban itu juga dicerminkan dalam kenyataan akhbar tersebut apabila baginda menzahirkan ucapan terima kasih kepada Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja yang telah memilih baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 bermula pada 13 Disember 2016.

Tertibnya Sultan Muhammad V apabila baginda turut menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan kerajaan yang telah memberi kerjasama dalam mentadbir negara.

Lebih tertib lagi apabila Timbalan yang di-pertuan Agong yang juga Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin, Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Tuanku Syed Putra Jamalullail, Yang Dipertuan Besar Ne­geri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir dan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah berangkat menghadiri mesyuarat khas itu di Istana Negara, Kuala Lumpur semalam. Tujuan mesyuarat itu ialah bagi menentukan tarikh untuk memilih Yang di-Pertuan Agong ke-16 dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong.

Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah tidak berangkat menghadiri mesyuarat khas itu kerana kurang sihat manakala Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berada di luar negara.

Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja itu kemudian menetapkan 24 Januari depan bagi memilih Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong. Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong akan diadakan pada 31 Januari ini.

Rakyat di negara ini akan menyaksikan Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong yang baharu pada awal tahun ini. Pemilihan yang teratur dan tertib bagi memilih Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong itu turut menepati konsep Raja Berperlembagaan dan mengangkat institusi beraja di negara ini.

Tidak dapat dinafikan lagi peletakan jawatan dan pemilihan Yang di-Pertuan Agong yang baharu itu boleh dijadikan panduan dalam memilih ketua dalam pelbagai organisasi di negara ini. Peletakan jawatan yang dilakukan dengan penuh ketertiban itu juga mencerminkan kesopanan yang tinggi dalam kalangan raja-raja Melayu. Daulat Tuanku!