Saat mata tertancap kepada seorang pesakit yang bergantung pada mesin bantuan pernafasan, penulis mendoakan moga dia diberikan ke­sembuhan sementelah kasihan melihat beberapa ahli keluarganya yang sering mengesat air mata.

Dalam hati terdetik, bertuah dia kerana masih mempunyai ahli keluarga dan lantas teringat kepada pertemuan dengan seorang pegawai perhubungan sebuah hospital kerajaan di Kuala Lumpur.

Menurut pegawai tersebut, ramai yang menghantar ahli keluarga terutama ibu bapa ke unit kecemasan untuk mendapatkan rawatan tetapi sebaik ditempatkan di wad untuk menjalani pemantauan, tidak ada waris yang datang melawat.

Lebih menyedihkan, ada dalam kalangan pesakit warga emas ini yang tidak diambil oleh waris masing-masing ketika sudah dibenarkan pulang.

Bagaimanapun, penulis tidak mahu cepat menjatuhkan hukum kerana percaya setiap apa yang berlaku pasti ada sebabnya.

Mungkin ada kisah yang berlaku ketika mereka muda sehingga mengakibatkan la­ya­nan diterima pada usia emas sedemikian rupa.

Ini penulis lihat sendiri di hadapan mata. Apabila ada antara rakan sebaya, yang telah menjalani kehidupan berumahtangga hampir belasan tahun lamanya, diceraikan suami tanpa sebarang pembayaran nafkah.

Jika difikirkan, tiada langsungkah pengorbanan rakan penulis itu sehingga melayakkannya menerima sekurang-kurangnya nafkah idah? Sudahlah hak penjagaan anak perlu diberikan kepada bekas suami dan itu sebenarnya hanya di dalam kertas kerana hakikatnya, dua anak rakan penulis itu masih di bawah penjagaannya.

Dia dan ahli keluarganya yang menguruskan persekolahan dua anaknya.

Ada yang mendakwa rakan penulis itu bodoh kerana mengikut sahaja syarat diberikan bekas suami sekiranya mahu proses perceraian mereka berjalan lancar tetapi hakikatnya, dia sebenarnya sanggup menerima apa juga syarat yang diberikan asalkan dilepaskan.

Apa yang penulis lihat, anak-anaknya sayangkan si ibu dan sanggup bergilir pergi ke rumah bapa setiap kali hujung minggu kerana tidak mahu melihat ibu dilempar kata-kata nista.

Tidak mustahil, jika satu hari anak-anak ini sudah me­ningkat dewasa, orang seperti mereka inilah yang mungkin tergamak meninggalkan si bapa kerana perbuatan lelaki itu terhadap ibu mereka satu masa dahulu.

Perkara sama sebenarnya pernah diakui oleh seorang rakan penulis yang kini sudah berusia sekitar 30-an. Dia yang dibesarkan oleh ibu selepas orang tuanya berpisah berkata, satu hari jika bapa­nya datang kembali, dia sendiri tidak mahu membela lelaki itu kerana mengenangkan kesusahan dialami ibu.

Sehubungan itu, segala gesaan yang dikeluarkan pihak kerajaan termasuk cadangan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mujahid Yusuf Rawa merupakan satu langkah yang boleh melegakan ibu tunggal.

Menurut Mujahid, pihak­nya akan membawa ke Kabinet mengenai mekanisme untuk mengenakan sekatan bank terhadap bekas suami yang liat memberi nafkah kepada bekas isteri.

Kata Mujahid, kajian itu sudah dalam peringkat akhir dan pihaknya akan mendapatkan pandangan daripada beberapa pihak untuk dilaksanakan serta-merta tahun ini.

Jika dilihat dari sudut positif, sebenarnya langkah diambil oleh pihak kerajaan itu boleh memberi impak yang lebih baik kepada golongan lelaki yang selama ini culas dalam melunaskan tanggungjawab menyediakan kehidupan yang baik buat anak-anak mereka.

Jika anda sememangnya seorang bapa yang selama ini tidak pernah gagal dalam menyediakan keperluan anak-anak walaupun selepas bercerai dengan isteri, anda memang orang hebat dan jika belum mengambil langkah sama, eloklah dimulakan sekarang sebelum terlambat.