Namun, ia juga menjadi rebutan segelintir pihak dan menganggap peluang terbuka berkonsepkan inklusif ini untuk mengemukakan agenda tersendiri. Ini termasuk usaha me­ngangkat wacana tentang perjua­ngan komunisme dalam konteks ge­rakan bersenjata yang dilakukan oleh Parti Komunis Malaya (PKM) ketika Darurat dari 1948 hingga 1960.

Tanpa menafikan ada suara anak muda yang lantang mahu pengkisahan sejarah era Darurat itu melalui satu proses perubahan termasuk melibatkan buku teks sejarah di sekolah-sekolah. Suara muda itu tidak sewajarnya dipandang sinis apatah lagi dicemuh. Sudah lumrah orang muda bersikap kritikal dan penuh dengan idealisme.

Maka di sinilah peranan masyarakat memberikan respons melalui hujah bernas untuk memberikan pencerahan.

Sebenarnya perkara ini sudah muncul sejak lebih 10 tahun lalu apabila terbitnya pelbagai memoir tentang perjuangan kelompok kiri dalam perjuangan kemerdekaan. Memoir itu dilihat sebagai satu cara untuk mereka mencari pengiktirafan atas perjuangan menentang kolonial dan pendudukan Jepun.

Selama ini, sambutan kemerdekaan banyak memberikan penekanan kepada pemimpin yang disebut sebagai ‘pengasas negara’. Setengah pihak melihat naratif tentang kemerdekaan negara begitu membosankan.

Namun, perbahasan tentang kelompok kiri terlalu diberikan penekanan terhadap PKM sedangkan sepanjang sejarah, peranan nasionalis kiri dan nasionalis Islam turut memainkan peranan penting.

Aliran kiri cukup penting dalam sejarah nasionalisme Melayu dan turut mendapat perhatian ramai sarjana.

Bagi pemimpin kiri yang kemudiannya mengambil jalan menyertai UMNO mungkin tiada masalah apabila nama mereka sering menjadi sebutan malah pernah diberikan tempat dalam kerajaan.

Meskipun pemimpin nasionalis kiri seperti Ahmad Boestamam, Dr. Burhanuddin Al-Helmy dan Ishak Haji Muhammad atau Pak Sako akhir­nya mendapat tempat dalam naratif sejarah kebangsaan, penekanan tentang perjuangan mereka sebenarnya tidak banyak diketengahkan dalam sejarah rasmi.

Perdebatan masih berlangsung dalam menilai bekas-bekas anggota PKM seperti Rashid Maidin dan Abdullah CD terutamanya bagi golongan yang tidak gemarkan naratif terkan­dung dalam teks rasmi sejarah.

Memetik tulisan Mohamad Salleh Lamry dalam bukunya, Gerakan Melayu Kiri dalam Perjuangan Kemerdekaan: “Bagi orang seperti Abdullah CD, Rashid Maidin dan Suriani Abdullah, mereka menganggap perjuangan senjata yang mereka lancar pada asasnya untuk mencapai kemerdekaan dan kemerdekaan tercapai pada 31 Ogos 1957 ialah hasil perjuangan semua pihak termasuk golongan yang berjuang secara bersenjata seperti mereka.

“Mereka penuh yakin tanpa adanya perjuangan bersenjata yang mereka lancarkan, pihak British tidak akan memberikan kemerdekaan pada tarikh tersebut.”

Namun penilaian terhadap gerakan komunisme yang menguasai MPAJA (Malayan People’s Anti-Japanese Army) contohnya, ia tidak boleh melepaskan diri daripada dipersoalkan terutamanya dalam tempoh masa Zaman Bintang Tiga pada tahun 1945 yang telah mencetuskan perbalahan kaum. Ia sebenarnya lebih dahsyat daripada peristiwa 13 Mei 1969.

Malah penilaian turut perlu dibuat membabitkan gerakan bersenjata yang diteruskan oleh PKM setelah negara mencapai kemerdekaan pada 1957.

Sungguh ironi, ketika PKM mengiktiraf kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, mereka masih meneruskan perang hinggalah ia tamat setelah perjanjian di Hat Yai, Thailand pada 1989.

Kisah sejarah Malaysia selepas pendudukan Jepun hingga merdeka se­ring dianggap sebagai sejarah mereka yang menang dalam percaturan politik negara hingga akhirnya kelompok kiri yang kalah terus terpinggir.

Malah ada antara mereka meringkuk dalam penjara atas alasan mempunyai elemen komunis.

Begitu juga dengan kelompok nasionalis Islam seperti Abu Bakar al-Baqir yang membentuk Hizbul Muslimin dari Gunung Semanggol, Perak.

Kelompok nasionalis kanan meng­anggap gerakan itu sebagai ‘bahaya dari gunung’ dan mereka mendapat kelebihan apabila British mengharam­kan gerakan Islam pertama di Tanah Melayu itu.

Kelompok kiri yang dilahirkan daripada PKM sebenar tidak ramai. Sebaliknya, nasionalis kiri mempu­nyai kesedaran sendiri hasil daripada pendidikan dan pentadbiran Jepun yang anti-British.

Dalam semangat Malaysia Baharu, sewajarnya semua pihak diajak bersama untuk merasai nikmat kemerdekaan dan mengingati pengorbanan semua kelompok yang telah berjasa.

Jika teks sejarah mahu ditulis semula, pastikan ia memberikan gambaran secara adil dan seimbang serta tidak menjadi alat pemerintah semata-mata. Ini kerana kita memerlukan semangat patriotisme yang tulen dan bukannya dibentuk atas dasar propaganda semata-mata.