Bayangkan itu ungkapan naif tanpa perasaan yang terletus daripada bibir seorang anak kecil berusia tujuh atau lapan tahun dalam satu sesi suai kenal di dalam kelas, di sebuah sekolah kebangsaan suatu hari nanti.

Tentu guru-guru yang berada di situ hampir terpelanting atau tersandar ke papan hitam kerana terkesima bercampur kagum apabila mengetahui salah seorang muridnya merupakan anak kepada biduanita negara Datuk Seri Siti Nurhaliza! Pasti, itu suatu kejutan yang hebat.

Pada waktu tersebut, murid lain mungkin hanya terpinga-pinga. Usia sementah itu memungkinkan kebarangkalian yang besar untuk mereka tidak tahu betapa mashyurnya nama keluarga teman sekelas masing-masing.

Pastinya juga ada ibu bapa murid lain di sekolah berkenaan tidak mahu melepaskan peluang mengintai apa sahaja aktiviti anak kecil itu, jika mereka diberitahu anak Siti Nurhaliza sebagai teman sekelas anak mereka. 

Namun, itu semua hanya bayangan nakal. Sementelah ada orang kenamaan atau ahli korporat biasanya memilih sekolah antarabangsa sebagai institusi pendidikan awal atau menengah terbaik untuk anak masing-masing, inikan pula anak Siti Nurhaliza, satu-satunya anak perempuan Datuk Seri Khalid Mohd. Jiwa. 

Siapakah kita untuk menilai ke mana Siti akan menghantar zuriat yang ditunggu-tunggu selama hampir 12 tahun perkahwinan itu bersekolah nanti. Tunggulah lima atau enam tahun lagi, jika kita dipanjangkan umur, berita tersebut akan terpampang ke mata semua.

Sekadar rencam andaian-andaian yang terkeluar impak daripada keterujaan satu Nusantara dengan kelahiran anak Siti, bayi berusia tidak sampai sebulan itu sebenarnya sudah pun mewarisi populariti ibunya sejak berusia empat bulan dalam kandungan.

Lahir dalam limpah dambaan semua orang bahkan disulami melodi manis, Comel Pipi Merah yang sudah melekat dalam kepala setiap pendengarnya, Siti Aafiyah dengan mudah merangkul hati satu Malaysia.
Apa yang berlaku kepada anak Siti juga bukan sesuatu yang luar biasa. Ia pernah berlaku kepada anak selebriti popular seperti Engku Aleesya puteri tunggal Erra Fazira, Lara Alana (anak Scha Alyahya dan Awal Ashaari) serta Aaisyah Dhia Rana (anak Rozita Che Wan).
Tiada yang pelik tentang populariti anak selebriti kerana mereka ibarat ‘kembar’ yang lahir daripada perut ibu masing-masing. Kehebatan ‘kembar’ itu pula bergantung kepada sehebat mana populariti ibu bapa mereka.

Itu sekadar di Malaysia. Anak-anak selebriti ternama dunia, contoh paling ketara tentu ramai yang masih ingat tumpuan global terhadap si comel Suri (anak aktor Tom Cruise bersama aktres Katie Holmes). 

Anak-anak artis terkemuka lain juga tidak ketinggalan. Bezanya, 10 atau 20 tahun dahulu tiada laman sosial yang menyebabkan ledakan populariti tidak dirasai sebagaimana hari ini.

Di sebalik populariti menjadi anak orang ternama, kejahilan atau kesedaran terhadap sehebat mana kemasyhuran dan siapa ibu bapa mereka pada mata masyarakat sangat berkait rapat dengan cara bagaimana mereka dibesarkan. 

Anak-anak selebriti itu mungkin dilepaskan menjadi artis seawal usia ataupun membiarkan waktu yang mengheret mereka menjadi sebahagian daripada kerlipan bintang.

Di Hollywood, walaupun saban ketika diburu paparazi ada juga anak-anak bintang terkemuka tidak benar-benar tahu siapa nama pentas atau siapa ibu bapa mereka selain apa yang hari-hari dilihat di depan mata.

Contohnya, anak kedua mendiang Raja Pop Dunia, Michael Jackson, iaitu Prince Jackson, 21, dalam satu temu bual bersama program Good Morning America pada tahun 2017 sendiri mengakui, dia hanya menyedari betapa bapanya begitu digilai peminat apabila menyaksikan reaksi dan emosi peminat yang sungguh pelik dalam sebuah video konsert Michael Jackson.

Ketika itu, Prince yang berusia 12 tahun pada saat kematian Michael, baru sedar ada sesuatu yang sangat luar biasa tentang bapanya padahal dia adalah antara kanak-kanak dan anak orang paling po­pular di dunia.

Jika anak orang popular pun tidak sedar siapa keluarganya, apatah lagi anak orang marhaen seperti kita semua. Yang mereka mahukan ialah yang terbaik daripada ibu bapa.

Justeru, saya sedar siapa pun kita, sehebat mana pengaruh, sebanyak mana harta duniawi atau sepayah mana pun kehidupan yang dilalui anak-anak bersama ibu bapa mereka, persamaannya cuma satu iaitu ibu bapa adalah adi wira pada mata anak-anak. Biarpun tidak mampu menjadi popular, setiap orang mampu menjadi adi wira  pada mata keluarga sendiri.