Walaupun sudah masuk hari kelima, bahang Aidilfitri masih lagi hangat khususnya dalam kalangan warga kota yang masih bercuti dan berada di kampung halaman ma­sing-masing untuk meraikan hari lebaran bersama sanak saudara.

Pada masa yang sama, ada juga dalam kalangan kita yang sudah masuk ke pejabat dan memulakan tugas masing-masing, manakala kedai-kedai perniagaan sudah ba­nyak yang beroperasi seperti biasa.

Tidak kiralah di mana pun kita berada, tentunya masih ramai yang masih terasa ‘kehilangan’ Ramadan di sebalik kegembiraan menyambut Aidilfitri.

Kalau kita imbas kembali sepanjang sebulan kita menjalani ibadat puasa sepanjang Ramadan lalu, hampir semua masjid dan surau dibanjiri orang ramai untuk mengerjakan amal ibadah meliputi amalan fardu mahupun sunat.

Malah, ada dalam kalangan pihak pengurusan masjid dan surau terpaksa menyediakan pelbagai kemudahan termasuk ada yang sampai terpaksa membentang tikar tambahan bagi menampung kehadiran orang ramai yang sungguh luar biasa sepanjang bulan tersebut.

Setiap malam, pertambahan jumlah makmum yang hadir khususnya untuk berjemaah pada waktu solat Isyak dan solat sunat tarawih di masjid-masjid atau surau-surau begitu ketara. Begitu juga pada waktu solat-solat fardu yang lain apabila jumlah makmum yang hadir bertambah berbanding bulan-bulan lain.

Apa yang pasti, semua itu berlaku kerana hebatnya semangat Ramadan yang juga dikenali sebagai bulan ibadah yang menuntut kita sebagai umat Islam bukan sahaja untuk menahan diri daripada lapar dan dahaga, malah memperbanyakkan amal ibadat meliputi amalan-amalan fardu dan sunat seperti solat tarawih, membaca al-Quran, bersedekah, qiamulail selain memelihara diri daripada melakukan perkara-perkara yang ditegah agama.

Kerana hebatnya Ramadan itu, maka banyak masjid dan surau menjadi ‘hidup’ kerana ramai daripada kita berusaha sedaya-upaya untuk memenuhi semua tuntutan tersebut meliputi amalan-amalan fardu atau sunat dalam mencari keredaan Allah.

Oleh itu, seharusnya kita tidak menghentikan segala amalan murni yang dilaksanakan di sepanjang Ramadan lalu begitu sahaja hanya kerana bulan yang penuh dengan keberkatan itu telah berlalu.

Jika sebelum sepanjang Ramadan lalu kita sering berusaha de­ngan bersungguh-sungguh untuk menunaikan solat lima waktu secara berjemaah di masjid-masjid atau di surau-surau, maka seharusnya usaha itu diteruskan juga pada bulan-bulan lain.

Pastinya masjid-masjid atau surau akan terus makmur dan ‘meriah’ jika momentum kehadi­ran makmum ke rumah Allah se­perti yang berlaku bulan Ramadan diteruskan oleh kita semua.

Mungkin sudah masanya untuk kita semua umat Islam tidak kiralah di mana pun kita berada untuk sama-sama berusaha seboleh mungkin untuk meneruskan tradisi bersolat secara berjemaah di masjid lebih-lebih dalam menunaikan solat fardu.

Selain mengimarahkan masjid, banyak lagi amalan mulia yang kita semua lakukan pada Ramadan yang seharusnya diteruskan pada bulan-bulan lain seperti bersedekah, menunaikan solat-solat sunat atau mengelakkan diri daripada melakukan perkara-perkara yang ditegah seperti mengumpat, mengeji antara satu sama lain, menipu dan macam-macam lagi.

Pastinya semua perkara yang ditegah pada bulan Ramadan itu boleh dilakukan pada bulan-bulan lain, sebaliknya ia wajib dihindari sepanjang hidup kita.

Selain penerapan amalan mulia itu, Ramadan juga sebenarnya mendidik kita dalam aspek pemakanan yang banyak membantu dalam menjaga kesihatan diri.

Di sebalik amalan berpuasa sebagai salah satu rukun dalam Islam, ia juga sebenarnya banyak membantu kita dari segi kesihatan seseorang. Jadi tidakkah kita belajar sesuatu daripada amalan ber­puasa itu setelah ramai yang me­ngakui bahawa mereka lebih selesa apabila berat badan masing-ma­sing menyusut kerana berpuasa?

Paling tidak, konsep makan secara bersederhana yang diajar sepanjang mungkin boleh dite­ruskan pada bulan-bulan lain juga atau mungkin kita perbanyakkan amalan puasa sunat selepas ini.

Apa-apa pun tepuk dada tanya­lah selera. Yang paling penting, janganlah sampai masjid-masjid kita kembali sunyi selepas Ramadan berlalu dan hanya akan kembali meriah apabila Ramadan akan datang muncul kembali.

Kalau kita ramai-ramai mampu untuk ke masjid atau surau pada bulan Ramadan untuk solat berjemaah, mengapa tidak pada bulan-bulan lain.