Kita berasa bangga apabila memiliki peranti elektronik ­terutamanya telefon dan jam pintar yang terkini serta canggih.

Kita juga akan berasa hebat jika memiliki banyak akaun media sosial seperti Facebook, Instagram dan Twitter. Kemajuan teknologi ini memberikan banyak kesan positif bagi memudahkan urusan ­harian kita.

Kita boleh berkomunikasi bersama saudara-mara, sahabat handai dan rakan taulan yang jauh beribu kilometer dengan hanya menggunakan akses internet.

Malah, banyak negara di dunia juga berlumba-lumba membangunkan teknologi angkasa mereka dengan melancarkan satelit di angkasa lepas.

Negara-negara maju seperti Amerika Syarikat dan Rusia menggunakan satelit untuk memantapkan sistem pertahanan, sekali gus menjadikan mereka sebagai sebuah kuasa besar dunia.

Dalam bidang perisikan, teknologi satelit ini mampu mengesan objek waima sebesar kuman di muka bumi.

Namun, kita harus akui bahawa masih ada kelemahan dalam kemajuan teknologi ini.

Akal manusia mungkin tidak dapat membayangkan kegagalan teknologi ini mengesan pesawat MH370 milik Malaysia Airlines (MAS) yang hilang sejak 8 Mac 2014.

Jadi, bukan sesuatu yang mustahil apabila teknologi ini gagal mengesan peserta ­larian lasak, Gopeng Ultra Trail (GUT) 2019, Mohammad Ashraf Hassan, 29, yang dilaporkan hilang pada 23 Mac lalu.

Sehingga kini, tidak ada sebarang petunjuk untuk mengesan kedudukan sebenar Mohammad Ashraf yang lebih dikenali sebagai Acap. Sepanjang tempoh itu, pelbagai usaha telah dilakukan untuk mencari Acap.

Selain inisiatif penganjur GUT 2019, operasi mencari dan menyelamat (SAR) berskala besar itu turut melibatkan pelbagai agensi berkuasa.

Antaranya Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Unit Pemusnah Bom PDRM, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Pasukan Gerakan AM (PGA), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), Rejimen Renjer Diraja Malaysia, Jabatan Hutan, Jabatan Penerangan serta Jabatan Penga­liran dan Saliran (JPS).

Khidmat orang kampung, Pasukan Bantuan Mencari dan Menyelamat Gunung (Mosar) dan Malim Gunung, orang awam serta rakan-rakan ­mangsa juga digunakan. Malah, Unit Anjing Pengesan JBPM juga gagal mengesan mangsa.

Tidak cukup dengan itu, Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri turut ke lokasi kejadian.

Namun, sehingga kini masih belum ada petunjuk di sebalik misteri kehilangan Acap.

Sebaliknya, kemajuan tekno­logi dan media sosial hari ini telah menyebabkan ramai rakyat Malaysia seolah-olah mengalami penyakit mental.

Ketika ahli keluarga sedang bersedih, ada pihak sanggup melakukan perkara-perkara yang boleh dianggap sebagai tidak bertanggungjawab.

Sejak 23 Mac lalu, polis menerima sekurang-kurangnya empat laporan berkaitan penularan berita palsu melalui media sosial.

Antara berita palsu itu ialah berkaitan penemuan mangsa oleh pasukan #TEAMCOBRA yang disebarkan melalui aplikasi WhatsApp dan dimuat naik melalui akaun Facebook Putra Al Mukmin.

Polis turut menerima laporan mengenai penemuan ­mangsa oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) bersama Ustaz, namun turut menyatakan mangsa tidak mahu kembali kerana telah berkahwin dengan jin yang dimuat naik melalui akaun Facebook Muahsetapak.com.

Selain itu, satu laporan lagi mengenai rakaman suara yang dimuat naik di Facebook milik Hafiz Amir yang menyatakan mangsa disorok penduduk kampung.

Laporan keempat pula ber­kaitan satu status yang dimuat naik melalui Facebook atas nama Muhmmad Mamzah (Brado Kapak) yang menyatakan pihak penganjur GUT 2019 bersikap lepas tangan.

Kesimpulannya, kemajuan teknologi tidak mampu merungkai misteri kehilangan Acap.

Selaku peminat sukan lasak dan aktiviti mendaki gunung, penulis turut terkesan dengan kes kehilangan Acap. Moga Acap ditemui dengan selamat.