Situasi itu menyebabkan kedai dobi tumbuh umpama cen­dawan tumbuh selepas hujan.

Permintaan yang tinggi daripada pelanggan itu turut menyebabkan kedai-kedai dobi sedia ada tidak mampu untuk menampung kapasiti tersebut.

Ketika itu, kedai dobi konvensional menjadi pilihan kerana ia menawarkan perkhidmatan membasuh, melipat dan menggosok pakaian untuk menjimatkan masa pelanggan.

Namun, masa telah mengubah trend itu.

Kewujudan kedai dobi layan diri terutamanya yang berope­rasi 24 jam sehari memberi pilihan yang lebih luas kepada pengguna.

Secara perlahan-lahan, permintaan terhadap kedai dobi konvensional mula merudum sehingga memaksa pengusaha menamatkan operasi perniagaan mereka.

Ada juga pengusaha yang turut beralih kepada kedai dobi layan diri. Hari ini, kedai dobi layan diri mengambil alih peranan kedai dobi konvensional.

Bagaimanapun, cabaran untuk mengusahakan kedai dobi layan diri ini rupa-rupanya lebih sukar.

Selain bersaing sesama sendiri, pengusaha juga perlu memastikan keselamatan pengguna terjamin semasa mereka berada di premis tersebut.

Penjenayah semakin kejam. Mereka bukan sahaja sanggup mencederakan pelanggan tetapi tergamak membunuh haiwan yang tidak berdosa.

Tindakan dua lelaki yang menangkap dan memasukkan se­ekor kucing bunting ke dalam mesin pengering pakaian sehingga mati dalam keadaan berdarah akibat melecur di Taman Gombak Ria, Kuala Lumpur baru-baru ini tidak boleh dimaafkan.

Klip video daripada televisyen litar tertutup (CCTV) yang di­tularkan oleh Persatuan Haiwan Malaysia itu mendapat banyak kritikan dan kata-kata maki hamun netizen.

Kedua-dua lelaki itu telah ditangkap dan dijatuhi hukuman setimpal dengan perbuatan mereka yang keji itu.

Ini yang dikatakan ‘manusia berhati binatang’ atau manusia lebih kejam daripada binatang.

Pada hari yang sama juga, tular video seorang wanita yang sedang mencuci pakaian seorang diri disamun dua lelaki bersenjatakan parang di sebuah kedai dobi layan diri di Bandar Puteri Jaya, Sungai Petani, Kedah.

Dalam kejadian pukul 7 pagi itu, mangsa yang berusia 37 tahun dihampiri seorang lelaki yang berpura-pura kehilangan baju yang dibasuh di premis tersebut.

Suspek tiba-tiba cuba merampas beg tangan mangsa tetapi wanita tersebut menarik beg tangannya.

Suspek yang berang mengacukan sebilah parang sebelum wanita terbabit terpaksa akur dan menyerahkan beg tangannya kerana takut dicederakan.

Tidak lama kemudian, seorang lagi suspek masuk ke dalam kedai dan meragut barang kemas pada leher, tangan serta jari mangsa selain merampas kunci kereta Proton Persona sebelum melarikan diri.

Ini bukan kejadian pertama yang dilaporkan.

Sebelum ini sudah ramai pengguna kedai dobi layan diri menjadi sasaran penjenayah.

Peningkatan kes samun di kedai dobi layan diri ini berjaya menarik perhatian Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye.

Beliau menyarankan supaya waktu perkhidmatan kedai dobi layan diri terutamanya yang beroperasi 24 jam dikaji semula bagi mengurangkan risiko kejadian samun.

Ramai pelanggan terutamanya wanita menggunakan per­khidmatan itu selepas waktu kerja termasuk selepas pukul 12 te­ngah malam agar tidak perlu berebut dengan orang lain.

Pada masa yang sama, pengusaha kedai dobi diwajibkan memasang CCTV di dalam dan di luar premis perniagaan dalam usaha membantu mengenal pasti penjenayah.

Individu yang sering mengunjungi pusat dobi layan diri pada waktu malam pula mengelak daripada bersendirian dengan membawa teman dan pergi ke tempat lain untuk menghabiskan waktu ketika menunggu pakaian mereka dicuci.

Langkah drastik perlu diambil segera sebelum berlaku kes samun yang berakhir dengan kematian.