Adakalanya dalam hidup ini kita melalui persimpangan yang kita tidak tahu ke mana hendak pergi. Ke kiri atau kanan, ke depan atau ke belakang? A atau B? Tidak mungkin hanya duduk diam kerana masa begitu pantas menghambat dan keputusan perlu lekas dibuat.

Bagi mereka yang sudah menamatkan persekolahan misalnya, adakalanya perkataan ‘apa yang anda hendak jadi selepas ini?’ terlalu rumit untuk dijawab. Soal tentang cita-cita menjadi buntu. Lelah lagi membi­ngungkan. Lebih teruk lagi jika tiada langsung idea, tidak tahu atau tiada kepastian apa yang ingin dicapai sejak dulu. Clueless.

Tetapi teruk yang difikirkan buruk itu mungkin sebenarnya tidak seteruk yang disangka. Penulis mahu membuka minda pembaca bahawa ada ramai orang baru mengenal potensi dirinya setelah menghadapi kebuntuan. Ya, buntu di persimpangan adalah asbab atau punca seseorang itu menyelongkar sesuatu kebolehan yang mungkin tak pernah difikirkan ada dalam dirinya atau mustahil selama ini.

Anda kenal dengan gadis kecil dari Kuala Lumpur, Nor ‘Phoenix’ Diana yang menjadi sensasi baru-baru ini kerana merupakan wani­ta penggusti berhijab pertama dunia? Dia membuktikan bahawa adakalanya dikurniakan rasa langsung tidak tahu ke mana harus dibawa ‘kaki’ melangkah itu sebenarnya hebat kerana ia boleh memacu kita ke arah sesuatu di luar kotak fikiran.

Penulis berkesempatan menemubualnya baru-baru ini. Ceritanya sewaktu tingkatan empat, dia langsung tidak mempunyai cita-cita dan tidak tahu apa yang hendak dilakukan setelah dewasa. Dia berasa bingung apabila rakan-rakan yang lain seolah-olah masing-masing sudah tahu apa yang ingin dicapai.

Dalam kebuntuan itu, dia mula memikirkan tentang minatnya menonton aksi dan perlawanan gusti, lalu bermulalah idea untuk menjadi penggusti walau hakikatnya ia suatu yang luar norma kebiasaan apatah lagi dia seorang wanita yang bertudung.

Semasa kecilnya, dia juga tidak menyangka yang dirinya akan menjadi seorang penggusti. Masakan tidak, jangankan memanjat, sebarang sukan pun tidak pernah diceburi.

Ternyata percaturannya tidak salah. Setelah menjuarai Malaysia Pro Wrestling - The Wrestleconi dengan menumbangkan penggusti-penggusti lelaki awal Julai lalu di Kuala Lumpur, beberapa hari lalu dia sekali lagi mengharumkan nama negara dalam percubaan pertamanya di luar Malaysia dan Singapura dengan memenangi satu pertarungan gusti MWF: Republika di Manila, Filipina. Tahniah!

Bukan dia sahaja. Penulis juga mengenali seorang cef dari Sarawak yang pada asalnya hanya menganggur kerana langsung tidak tahu apa minatnya.

Tetapi tahukah anda bahawa dia adalah salah seorang cef yang telah menjulang nama negara dalam pertandingan Piala Dunia Pastri 2019 Januari lalu.

Justeru bagi para pelajar sekolah atau sesiapa pun yang belum mempunyai pembayang tentang hala tuju hidupnya jangan sesekali berasa resah kerana kemungkinan anda akan merintis jalan yang lebih hebat berbanding mereka yang sejak awal sudah menetapkan hala kehidupan.

Benarlah dikurnia rasa tidak tahu itu juga ada hikmahnya. Tanpa rasa kebuntuan manusia tidak akan bersungguh-sungguh memerah buah fikir sehingga mencapai kemuncak pemikiran.